Hargai budaya politik baharu - Utusan Malaysia

Hargai budaya politik baharu

KESEDIAAN pemimpin pembangkang untuk bekerjasama dengan kerajaan memberi sinar baharu kepada amalan politik yang dinamik dan matang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM sedia maklum, Malaysia yang baru sahaja merdeka pada 1957 dikejutkan dengan pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia pada 1965, diikuti peristiwa 13 Mei 1969 yang menumpahkan darah. Ancaman perpecahan ini dapat diatasi dengan matang di bawah kepimpinan negara ketika itu.

Kestabilan negara yang diwujudkan berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara disegani kemudiannya walaupun terpaksa berdepan beberapa pergolakan politik yang mencemaskan seperti kebangkitan gerakan reformasi pada 1998. Namun demikian, politik negara kita dikejutkan dengan perebutan kuasa yang memualkan ketika negara berdepan musibah Covid-19.

Ahli-ahli politik dilihat rakus merebut kuasa bermula daripada desakan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur dari kerusi Perdana Menteri hinggalah kepada kejatuhan sebuah kerajaan ‘tebuk atap’ yang didakwa ‘gagal.’ Keghairahan untuk menyalahkan kerajaan terbawa-bawa dalam sidang khas Parlimen yang diadakan untuk membincangkan isu Covid-19.

Tingkah laku sebahagian ahli Parlimen yang berbahas seperti kehilangan adab dan kesopanan. Tidak hairanlah jika Sultan Johor ketika membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengingatkan wakil-wakil rakyat agar tidak menjadikan dewan yang mulia seperti sarkas.

Pemangku Raja Pahang turut juga menegaskan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mengamalkan politik matang. Seruan ini bukan sahaja perlu ditunjukkan ketika berbahas tetapi diamalkan dalam mengatur tindakan politik demi kepentingan negara, bukannya untuk diri sendiri.

Memang sukar untuk matang dalam politik kerana ia penuh dengan prasangka dalam menilai sesuatu tindakan. Apalagi jika seseorang merasakan dia mampu menguasai kerusi Perdana Menteri dengan nombor simpanannya yang banyak.

Sedangkan kerjasama politik boleh meredakan suhu politik. Tindakan menjatuhkan kerajaan sendiri oleh segelintir ahli UMNO adalah tindakan tidak matang khususnya ketika rakyat memerlukan kerajaan yang stabil bagi menyelesaikan kesukaran hidup.

Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-64, politik negara ini sepatutnya telah matang dan sejahtera. Sebarang tindakan yang boleh menjerumuskan negara ke dalam huru hara perlu dihindari segera.

Ahli dan parti politik perlu lebih matang dan bijaksana dalam mendepani krisis politik hari ini. Pertelingkahan ahli politik jangan dibiarkan parah sehingga mematikan mood sambutan hari kemerdekaan kali ini.

Jangan biarkan dunia ketawakan kita seperti ingatan Dr. Mahathir dalam isu undi percaya bagi mengesahkan sokongan terhadap Perdana Menteri yang baru dilantik di sidang Parlimen akan datang.

Kesediaan Dr. Mahathir memberikan pandangannya kepada pimpinan negara dalam menangani isu Covid-19 seharusnya membuka lembaran budaya baharu dalam berpolitik. Ahli politik perlu bersikap terbuka untuk mempelajari hikmah dan kebijaksanaan daripada mana-mana pihak termasuk saingan politik mereka seperti Pas yang lebih matang dalam mengendalikan isu-isu politik dengan penuh hikmah dan bijaksana.

KERAS
Budaya politik matang dan sejahtera bukanlah suatu konsep baharu. Ia telah diperkenalkan oleh Pas bagi mengubah pendekatan parti yang selama ini dianggap keras dan rigid.

Tetapi peranan Pas sebagai sebuah gerakan dakwah yang mendidik umat, konsep ini boleh dimanfaatkan semua. Ini kerana ia mengutamakan kematangan semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan, seterusnya membawa kesejahteraan kehidupan seluruh lapisan masyarakat.

Budaya politik matang dan sederhana mempunyai dua bahagian utama, iaitu matang dan sejahtera. Matang merujuk kepada proses berlandaskan pemikiran yang masak berpandukan data dan hujah dalam membuat penilaian, menentukan sikap dan tindakan terhadap sesuatu. Sejahtera pula merujuk kepada natijah atau matlamat kepada semua tindakan politik oleh mana-mana pihak dan mestilah membawa ke arah kesejahteraan kehidupan bermasyarakat.

Atas asas inilah, Pas sanggup bersama UMNO dalam Muafakat Nasional. Segala kenangan silam yang pahit terpaksa dilupakan bagi menggerakkan perpaduan ummah.

Pas berpandangan, hanya dengan menyatukan majoriti Melayu yang berpecah akan dapat menjamin kestabilan politik di negara ini. Ia sebenarnya ditunjukkan oleh Pas dalam penubuhan Barisan Nasional. Bahkan lambang dacing yang mengantikan kapal layar adalah hasil buah fikiran Presidennya (ketika itu), Datuk Mohd. Asri Muda.

Pas tampil bukan hanya sebagai penyelamat UMNO tetapi mengembalikan perpaduan dalam memartabatkan kontrak sosial yang dipersetujui bersama ketika mencapai kemerdekaan. Ia adalah perpaduan yang menyeluruh bagi semua bangsa dan kaum.

Oleh itu, idea menubuhkan Kerajaan Perpaduan pernah diutarakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibawa dalam pelbagai nafas baharu oleh tokoh-tokoh politik termasuk Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri interim dahulu. Sebenarnya perpaduan tidaklah sukar untuk dicapai jika parti politik mempunyai satu tujuan sama.

Pakatan pembangkang juga berjaya membuktikannya apabila Dr. Mahathir dan musuh lamanya berdamai dalam pilihan raya. Namun, ia tidak dapat bertahan lama.

Jika mereka matang dan sanggup bertolak ansur, kita tidak akan berdepan dengan isu pertukaran kerajaan yang berbekalkan majoriti tipis seperti hari ini. Apa yang perlu dilakukan oleh semua parti politik hari ini ialah menjadikan kepentingan negara dan bangsa melebihi lain-lain kepentingan.

Kesediaan pembangkang menandatangani persetujuan untuk bekerjasama dengan kerajaan memberi sinar baharu kepada amalan politik yang dinamik. Hargailah kemerdekaan dalam budaya politik baharu yang matang dan sejahtera.

 

DR. Badlihisham Mohd. Nasir ialah Profesor di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×