ALOR SETAR: Jumlah pusat tahfiz di negeri ini yang menutup operasi dijangka bertambah sekiranya pandemik Covid berlarutan dalam tempoh yang agak lama lagi.
Timbalan Persatuan Tahfiz Negeri Kedah Darulaman (Petanda), Yahya Saad, 73, berkata, setakat ini, kira-kira empat pusat tahfiz telah menutup operasi berikutan masalah kekangan kewangan.
Menurutnya, jumlah pusat tahfiz di negeri ini ialah sebanyak 81 pusat tahfiz dengan mempunyai pelajar seramai 2,558 orang manakala tenaga pengajar pula 400 orang.
“Kebanyakan pusat tahfiz yang ditutup itu baru dibuka dan masih tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh lagi.
“Masalah itu berlaku apabila pelajar-pelajar tidak menjelaskan yuran pengajian selepas mereka bercuti panjang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Yahya memberitahu, tenaga pengajar dan kakitangan di pusat tahfiz berkenaan juga terpaksa diberhentikan kerana tidak mampu membayar gaji.
Sementara itu katanya, pusat tahfiz lain pula masih bertahan dan semua ditutup sementara berikutan PKP 3.0.
Jelasnya, beberapa lagi pusat tahfiz di negeri ini juga menghadapi masalah kewangan, namun masih mampu membiayai gaji tenaga pengajarnya walaupun dibayar separuh daripada gaji asal mereka.
Bagaimanapun katanya, penutupan pusat tahfiz dijangka bertambah sekiranya pandemik Covid-19 berlarutan dalam tempoh yang lama.
“Oleh itu, saya berharap pihak korporat dan Jabatan Zakat Negeri Kedah dapat membantu pusat tahfiz yang terkesan dengan PKP,” katanya. – UTUSAN ONLINE










