KUALA LUMPUR: Datuk Azhar Azizan Harun akan menjalankan tugas seperti biasa pada persidangan akan datang sekiranya khidmat beliau masih diperlukan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, ini kerana perkara itu akan diputuskan Perdana Menteri baharu sama ada ingin mengekalkannya pada jawatan tersebut atau mengambil tindakan sebaliknya.
“Saya menjadi Yang di-Pertua di atas ihsan majoriti Dewan Rakyat. Terpulanglah kepada Perdana Menteri yang memimpin majoriti Dewan sekarang ini untuk menentukannya,” katanya.
Azhar merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dilantik bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Julai 2020.
Pelantikan beliau itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof yang memegang jawatan tersebut sebelum ini.
Azhar dibantu dua orang Timbalannya iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudah meletak jawatan dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon.
Mengulas lanjut, Azhar turut berkata, beliau telah menjalankan tugas sebaiknya mengikut Peraturan yang ditetapkan, malah turut menepis tuduhan mana-mana pihak yang mendakwa beliau hanya akur pada keputusan Perdana Menteri.
“Saya telah selama ini jalankan semua tugas saya mengikut Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan. Saya nafikan apa-apa tuduhan bahawa saya telah tidak berlaku adil kepada mana-mana pihak.
“Malah saya rasakan bahawa keadilan itu juga perlu diberi kepada saya sebagai Yang di-Pertua,” katanya.
Azhar sebelum ini diasak banyak pihak khususnya pembangkang kerana didakwa beliau tidak berani membuat keputusan mengikut perlembagaan dan hanya menuruti arahan Perdana Menteri dan Badan Eksekutif.
Antara pihak pembangkang yang lantang bersuara mengenai perkara itu adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menjelaskan desakan supaya Azhar meletak jawatan adalah pendirian parti sejak dulu lagi.
Bagi menyelesaikan isu tersebut, Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakob berkata, Sebuah Jawatankuasa Khas perlu ditubuhkan bagi meneliti calon yang layak untuk diangkat sebagai Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu. – UTUSAN ONLINE










