TIDAK sampai dua bulan iaitu 45 hari mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai pemimpin nombor satu kerajaan selepas satu lagi siri konflik politik.
Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan sudah tentu mengundang pelbagai persepsi, ramalan dan andaian politik ketika negara sedang bertarung melawan ancaman Covid-19. Ini kerana tersungkurnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebabkan tekanan datang daripada UMNO di mana beliau merupakan Naib Presiden.
Ismail Sabri yang juga bekas Menteri Kanan (Keselamatan) di bawah era Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah semestinya sedar tanggungjawabnya umpama berjalan dalam api. Bukan senang untuk memuaskan hati semua parti politik yang menyokongnya untuk memimpin negara.
Saya sendiri akui, sejak dilantik sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) dan jurucakap rasmi kerajaan dalam menguruskan Covid-19 tahun lepas, ada ketikanya beliau dikritik hebat di media sosial berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP). Namun, beliau tidak pernah lari daripada tanggungjawab. Beliau sentiasa berdepan dengan rakyat di kaca televisyen secara langsung untuk menjawab setiap pertanyaan pemberita.
Beliau sentiasa kelihatan tenang dan jarang sekali bertindak ‘luar biasa’ kecuali pada suatu ketika awal Jun lalu, salah satu hantaran di media sosial, “Saya dah tutup pintu depan tapi…”’ yang menjadi tular dan mencuri tumpuan warganet. Jarang sekali kita melihat beliau ‘melepaskan geram.’
Dari sudut politik, beliau perlu keluar dari bayang-bayang ‘liabiliti politik’ yang mengejar UMNO sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Walaupun Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO hilang kuasa buat pertama kali pada 2018, beliau tidak pernah lari daripada tanggungjawab sebagai seorang ahli dan pemimpin parti yang membina diri selama ini di dalam UMNO dan BN.
Ketika ada pemimpin UMNO, ahli Parlimen BN lompat dan lari ke sana sini, beliau merupakan antara pemimpin yang terus berjuang selepas hilang kuasa. Sebagai Ketua Pembangkang BN dari 2018 hingga Februari 2020, beliau menjalankan tugas dengan cukup tertib, teratur dan terancang. Pertama kali dalam sejarah politik negara, belum ada mana-mana Ketua Pembangkang berjaya menjadi Perdana Menteri.
Seperti dijangka, kemunculan pemimpin UMNO mengisi semula jawatan Perdana Menteri turut dipertikaikan, dikritik oleh ahli politik pembangkang dan media antrabangsa yang cuba menggunakan ‘pusingan cerita’ sama bersifat sinikal dan masih mahu kaitkan UMNO khususnya dalam isu 1MDB.
KINGMAKER
Tidak dinafikan UMNO, BN hilang kuasa pada PRU-14 disebabkan liabiliti politik yang cukup berat. Implikasinya masih dirasakan sehingga hari ini.
Kedudukan UMMO belum tenteram lagi. Sering kali keputusan politik pun tidak konsisten. Nampak sangat parti itu sudah ‘terpecah’ kepada dua, tiga kumpulan kecil. Wujud pula satu lagi cabaran baharu iaitu kluster mahkamah yang sering kali cuba dikaitkan dengan kredibiliti dan imej UMNO.
Perlu diingat, pemimpin datang dan pergi. UMNO merupakan kuasa besar politik di negara ini. Suara dan pencorakan politiknya sering menjadi kingmaker dalam landskap politik negara. Jatuh bangun survival politik UMNO perlu dihayati setiap masa.
Pemimpin dan ahli parti perlu didahulukan, diutamakan dan wajib ‘memegang’ masa depan parti sebagai aku janji setiap masa ketika parti senang, susah, berkrisis, berkuasa ataupun tidak.
Ingatlah, ini bukannya mandat UMNO ataupun BN. Jangan lupa gelombang suara rakyat pada 2018. Itulah suara demokrasi rakyat. Justeru, janganlah sombong ataupun berlagak seolah-olah sudah mendapat kuasa.
Sama ada segala tuduhan itu bersifat fitnah, palsu ataupun pendakwaan terpilih terhadap beberapa pemimpin UMNO, biarlah proses mahkamah menentukannya. Masing-masing mempunyai hak untuk membersihkan diri mereka.
UMNO dan BN sudah, sedang melalui perjalanan perit disebabkan isu yang sama berulang kali. Malah keputusan PRU-14 sudah menceritakan segala-galanya. Itulah realiti sebenar.
Tanggungjawab Ismail Sabri bukan sekadar mahu menjaga hati dan perasaan pemimpin UMNO dan BN sahaja. Lihatlah pelantikannya sebagai satu peluang terbaik untuk memperkasakan proses membantu rakyat dan memperkukuhkan, memulihkan dan memperkuatkan lagi jentera parti untuk mengharungi PRU-15 nanti.
Ya, beliau bukanlah Presiden ataupun BN tetapi ingatlah, apa guna ada jawatan dalam parti sekiranya hilang kuasa politik? Ketepikanlah ego kerana kedudukanya juga tidak selamat disebabkan majoriti tipis.
Berikanlah kebebasan politik secukupnya untuk beliau menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ketika era yang cukup kritikal dan mencabar ini.
Semua parti politik yang menyokongnya perlu sedar, ini bukan masa untuk main politik ala tarik tali kerana setiap parti memerlukan kerjasama, sokongan antara satu sama lain untuk memastikan kerajaan yang dibentuk ini stabil bagi menangani pandemik Covid-19.
Tunjukkanlah kesetiaan anda kepada raja dan negara. Tunaikanlah janji anda kepada rakyat. Jangan kerap gunakan slogan Demi Rakyat melalui bibir sahaja dan terus bermain politik. Rakyat sedang memerhatikan.
Selamat bertugas, Datuk Seri Ismail Sabri.
DATUK Anbumani Balan ialah penganalisis politik.











