Sajian telur ayam ramai penggemar. Ada pelbagai cara memasak telur yang boleh digunakan. Namun ada satu cara memasak telur yang pasti memberi masalah kepada kita semua iaitu bagaimana mahu memastikan telur tidak pecah berjurai apabila dimasak gulai.
Boleh cuba tips yang dikongsikan oleh Ahmad Shukri Amiruddin, yang juga tukang masak dan pemilik Warung Nasi Shukri yang terletak di Setia Alam, Shah Alam ini.
Biasanya resipi masak lemak cili padi ini menggunakan telur itik. Namun telur ayam boleh dijadikan pengganti. Cuba ikut petua yang dikongsikan untuk memasak telur supaya tidak pecah, bulat dan bujur apabila dimasak.
Cara memasak telur agar tidak pecah berjurai
1-Didihkan air panas. Sukatan air mengikut kuantiti telur yang hendak dimasak.
2-Masukkan empat sudu cuka.
3-Bila mendidih, perlahankan api.
4-Pecahkan telur satu persatu mengikut kuantiti yang dikehendaki.
5-Biar sampai masak.
6-Angkat, tapis dan masukkan dalam kuah lemak.
Resipi masak lemak cili padi guna telur ayam
Bahan bahan:
4 – 6 biji telur ayam
Cili padi – ikut pedas disukai
6 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 keping asam keping
3 batang Serai
6 biji buah keras -rendam dengan air panas dan kisar
Sedikit garam dan perisa
1 kotak santan kotak
1 helai daun kunyit – hiris halus
Cara penyediaan:
1-Tumbuk atau kisar cili padi, kunyit hidup dan bawang putih.
2-Masak bahan tumbuk dengan air. Biar masak.
3-Masukkan santan, asam keping dan serai. Masak dengan api perlahan.
4-Kerap kacau kuah ini selalu supaya santan tidak berketul.
5-Masukkan bahan-bahan yang selebihnya. Perasakan. Biar mendidih.
6-Akhirnya masukkan telur ayam yang telah dimasak terlebih dahulu tadi.
Petua: Buah keras berfungsi sebagai pemekat dan melemakkan masakkan.
Terima kasih: Ahmad Shukri Amiruddin / Warung Nasi Shukri Setia Alam, Selangor.
Facebook: Ahmad Shukri Amiruddin / https://www.facebook.com/ahmadshukri.amiruddin
https://www.facebook.com/groups/matjhn.official/permalink/1412196772571525










