PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan sewajarnya meredakan bahang politik yang melanda negara sekian lama terutama selepas perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Umumnya, pelantikan ini dilihat sebagai mandat yang jelas dari istana yang turut meletakkan harapan tinggi kepada Ismail Sabri. Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan dengan pelantikan itu, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik.
Seri Paduka juga menzahirkan harapan agar kemelut politik dapat diakhiri segera dan kesemua ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat demi kepentingan rakyat dan negara.
Maka menjadi tanggungjawab Ismail Sabri dan pasukannya untuk menjunjung dan menterjemahkan mandat dari istana ini kepada realiti seperti dihasratkan. Ringkasnya, mandat ini perlu dipikul dengan penuh amanah, dedikasi dan bertanggungjawab.
Mandat yang diberikan oleh istana ini sekali gus turut mencetuskan harapan besar dalam kalangan rakyat. Misalnya, rakyat mula mencongak dan ingin mengetahui apa yang mampu dibuat oleh Perdana Menteri baharu terutamanya dalam konteks mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, mengeluarkan negara daripada pandemik dan memulihkan kembali ekonomi rakyat dan negara.
Jelas sekali rakyat mula meletakkan harapan tinggi kepada Ismail Sabri serta berdebar menunggu tindakan dan hala tuju kerajaan baharu bagi merungkai segala permasalahan yang sedang dihadapi oleh negara dan rakyat.
Dalam konteks ini, pemilihan anggota Kabinet bakal menarik perhatian khalayak kerana ia akan mencerminkan kemampuan pentadbiran kerajaan baharu. Jujurnya, kita mahu pelantikan para menteri dibuat berpaksikan merit, nilai integriti tinggi serta mempunyai pengalaman dan kreativiti untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Sudah tentu saiz Kabinet juga bakal mencetuskan persoalan, apakah Ismail Sabri akan mengekalkan bilangan yang besar seperti sebelum ini atau mengecilkan seperti yang dicadangkan oleh pelbagai pihak? Hakikatnya, rakyat mahukan Kabinet yang boleh berfungsi dengan baik dengan memberi keutamaan kepada kualiti berbanding kuantiti.
Seterusnya rakyat mengharapkan Ismail Sabri dapat membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Hal ini penting kerana hanya kerajaan yang kuat dan stabil dapat memberi perhatian penuh kepada usaha dan langkah bagi menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi sekarang.
KOLABORASI
Untuk itu, perlu diwujudkan hubungan dan kolaborasi yang baik dengan parti pembangkang dengan cara mereka turut dilibatkan dalam proses pemulihan negara. Ia juga bertepatan dengan peringatan Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua ahli Dewan Rakyat mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Hakikatnya, kita sedang berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang cukup serius dalam sejarah negara. Peningkatan bilangan kes kematian yang direkodkan akibat wabak Covid-19 serta kehidupan rakyat yang umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menuntut kita mewujudkan kerajaan yang stabil bagi membantu dan melindungi rakyat serta memulihkan ekonomi dan membangunkan negara.
Dari segi ekonomi misalnya, hanya kerajaan yang kuat dan stabil mampu menarik dan memberi keyakinan kepada para pelabur, khususnya pelabur asing. Perkara ini cukup signifikan kerana sejak tercetus kemelut politik sehingga berlakunya situasi peletakan jawatan Perdana Menteri, keyakinan pelabur sudah mula tergugat. Ramai yang mula bersikap tunggu dan lihat kerana tidak pasti apa akan berlaku selepas ini. Sudah tentu mereka tidak mahu ambil sebarang risiko atas ketidaktentuan politik yang berlaku dan ini sekali gus membantutkan proses pemulihan ekonomi negara.
Jadi, semuanya terserah kepada Ismail Sabri dan anggota Kabinet yang bakal dilantik dalam menentukan perancangan dan hala tuju kerajaan baharu serta bagaimana untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Rakyat secara umumnya sedang memerhatikan dengan penuh minat apa kerajaan ini boleh buat dengan mandat yang diberikan oleh istana untuk mengatasi segala krisis dan kemelut yang ada.
Walau apa pun, semua pihak perlu memberi ruang secukupnya kepada Ismail Sabri dan pasukannya untuk merancang dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani krisis yang sedang berlaku.
Ironinya, semua sedia maklum, pembentukan kerajaan baharu ini adalah bersifat jangka pendek iaitu sebelum Parlimen dibubarkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Justeru, semua wakil rakyat dan parti yang ada diharap dapat berfikir secara matang dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negara, lantas memberi peluang kepada Ismail Sabri untuk membuktikan kemampuannya.
Tuntasnya, tanggungjawab utama kerajaan ini adalah untuk memikul mandat istana dan menunaikan harapan rakyat yang mahu keluar daripada ancaman pandemik serta memulihkan ekonomi diri dan keluarga.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










