Kepemimpinan adalah satu perkara yang amat penting dalam mengurus kehidupan. Peranannya adalah menegakkan keadilan dan menolak kezaliman. Sebenarnya manusia tidak mampu meneruskan kehidupan secara aman dan sentosa tanpa kepempinan.
Rasulullah SAW memberi panduan dalam kepimpinan ini dengan bersabda: Apabila tiga orang keluar untuk bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang ketua. (Riwayat Abu Daud)
Allah SWT telah meletakkan neraca urusan kepemimpinan dalam al-Quran. Panduannya juga terdapat dalam sunnah Nabi SAW. Hakikat kepemimpinan adalah untuk mencapai keredaan Allah dan meletakkan Islam sebagai perkara utama.
Dengan itu, hati-hati manusia akan bersatu di bawah kepemimpinan Islam dan mereka akan perolehi kebaikan yang melimpah ruah di dunia dan nikmat di akhirat.
Perkara ini tidak mungkin dicapai kecuali dengan mengikut manhaj yang digariskan oleh utusan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka (nabi-nabi) adalah orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah maka turutlah oleh mu wahai Muhammad akan petunjuk mereka. (al-An’am: 90)
Sejarah membuktikan kepemimpinan akan memberi kesan terhadap golongan yang dipimpin.
Jika mereka beriman kepada Allah, beriman kepada hari akhirat, tidak mahukan kebanggaan dan kerosakan sudah pasti manusia di bawah pemerintahannya berada dalam kebaikan. Bahkan limpahan manfaat semakin bertambah.
Terdapat dalam kalangan utusan Allah, rasul-rasul yang dilantik menjadi pemerintah dan pembesar kepada kaum mereka. Nabi Nuh a.s sebagai contoh menghadapi kaumnya yang ingkar kepada dakwah Islam namun Nabi Nuh istiqamah dalam menyampaikan dakwah selama 950 tahun.
Dakwah yang diucapkan ialah: Wahai kaumku sembahlah kamu akan Allah. Sebenarnya tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab hari yang besar iaitu hari kiamat. (al-‘Araf: 59)
Nabi Nuh menyeru kaumnya beriman kepada Allah untuk kebaikan mereka dan kebahagian di dunia dan akhirat. Tindak balas kaumnya adalah dengan melakukan kesakitan kepada Nabi Nuh sehingga beliau pengsan.
Tersedar daripada pengsan, Nabi Nuh meneruskan dakwah tanpa rasa lemah dan putus asa. Bahkan dakwah Nabi Nuh berjalan siang dan malam, berdakwah secara senyap dan terang-terangan.
Namun akhirnya hanya sedikit sahaja yang beriman dengan dakwahnya.
CONTOH TERBAIK
Nabi SAW menggariskan satu manhaj kepemimpinan yang terulung, qudwah yang terbaik dan berakhlak mulia. Baginda adalah contoh kepemimpinan yang berjaya. (rujuk al-Ahzab: 21)
Sejurus tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah, Rasulullah mengambil beberapa tindakan seperti membina masjid, mempersaudarakan Muhajirin dengan Ansar dan juga menyatukan seluruh penduduk Madinah.
Kesatuan penduduk Madinah yang berbagai kabilah terdiri daripada Aus dan Khazraj dan bangsa yahudi Bani Nadhir, Quraizah dan Qainuqa’ telah diikat dengan satu perjanjian atau pada hari ini dipanggil Perlembagaan.
Isi penting dalam perlembagaan itu ialah berlaku adil, menjaga keamanan, bertanggungjawab dan tidak khianat. Strategi ini amat berjaya menjaga kesatuan penduduk Madinah.
Hasil tarbiah Nabi SAW kepada para sahabat r.a maka lahirlah pemimpin yang mempunyai kualiti yang tinggi dalam kepemimpinan. Ini hasil kecekalan Nabi SAW dengan dakwah Islam.
Sebagai contoh apabila bapa saudaranya Abu Talib menyampaikan ugutan Quraisy: Nabi SAW menjawab: Demi Allah jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiri-ku untuk aku tinggalkan urusan dakwah ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya sehinggalah sama ada Allah memberi kemenangan atau aku tewas.
Generasi sahabat r.a memberi sumbangan yang besar dalam tatacara kepemimpinan Islam seperti tercatat dalam sejarah. Mereka memimpin umat ini selepas wafatnya Nabi SAW dengan penuh keadilan, menyebar kebaikan dan keamanan kepada manusia.
Sebagai contoh, Umar Ibn Khattab r.a memimpin dengan penuh keimanan, keberanian, amanah dan hikmah.
Hasilnya beliau berjaya menguasai dua kuasa besar ketika itu Parsi dan Rom yang terkenal dengan ilmu peperangan sejak berabad.
Selepas era kepemimpinan para sahabat, lahir pula seorang tokoh yang diingati sepanjang zaman iaitu Umar Ibn Abdul Aziz.
Walaupun Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz memerintah hanya dua tahun lima bulan tetapi beliau berjaya memimpin umat dengan memperbaharui beberapa perkara penting, menghentikan kerosakan yang berlaku dan menghidupkan kembali sunnah serta cahaya hidayah.
TANGGUNGJAWAB
Kepemimpinan bukan penguasaan dengan cara yang zalim tetapi ia adalah satu tanggungjawab. Ia memerlukan sifat yang tinggi dalam kesabaran, kemampuan memerintah, tinggi harga diri, teguh dengan prinsip dan yakin akan pertolongan Allah.
Kepemimpinan adalah asas kepada tertegaknya agama dan urusan dunia ditadbir dengan baik. Tidak harus kepemimpinan diberi kepada mereka yang jahil dan terdedah kepada kerosakan.
Apabila pemerintahan dipegang oleh mereka yang istiqamah dengan perkara yang baik, ia secara langsung memberi didikan kepada golongan yang diperintah.
Seorang perempuan bertanya kepada Abu Bakr al-Siddiq: Sampai bilakah kebaikan beragama ini akan berakhir? Sekarang kami kecapi keadilan, sesuatu urusan diurus kena pada tempatnya dan orang yang zalim dapat ditolong. Abu Bakar Siddiq menjawab: “Selagi mana pemerintah urusan kamu beristiqamah”.
Ali al-Sallabi berkata, menegakkan keadilan antara manusia bukanlah satu perkara yang harus di mana pemimpin boleh meninggalkanya mengikut hawa nafsunya.
Namun, dalam Islam menegakkan keadilan itu dianggap sebaik-baik kewajipan dan amat penting.
Imam al-Fakhr Razi pula menyatakan, sesiapa yang menjadi pemerintah maka wajib kepadanya berhukum dengan secara adil.
Melakukan keadilan mestilah dalam bentuk yang menyeluruh merentas daerah, bahasa pertuturan dan tanpa melihat keadaan masyarakat.
Contohnya, ketika menghakimi dua pihak yang bermusuhan maka hukumlah dengan adil dan kebenaran. Tidak melihat sama ada yang dihukum itu rakan, musuh, orang yang kaya, orang miskin, kenamaan atau berpangkat.
Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa... (al-Maidah: 8).
Islam telah memberi panduan dalam urusan kepemimpinan yang mementingkan keharmonian serta keamanan.
Pemerintah yang dilantik mestilah mempunyai sifat terpuji dan menegakkan kebenaran serta keadilan.
Rahmat Allah pasti dilimpahi kepada pemimpin yang baik dan rakyat juga menikmatinya. Tahniah kepada kepemimpinan baharu Malaysia.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










