PETALING JAYA: Lebih 600,000 lagi pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menjadi pengguna meter pintar menjelang hujung tahun ini.
Ia berikutan penyambungan semula projek meter pintar yang sebelum ini ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0)
Kerja-kerja pemasangan meter pintar disambung semula pada 1 Ogos lalu setelah mendapat kebenaran daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), selepas terpaksa ditangguhkan ketika penutupan penuh (total lockdown) sejak Jun lalu.
Menurut Pengarah Projek, Advanced Metering Infrastrukture (AMI) TNB), Ir. Mohamed Ghous Ahmad, dengan penyambungan semula pemasangan meter ini, jumlah
pengguna meter pintar bakal meningkat kepada lebih 1.8 juta pada penghujung tahun ini.
“Sehingga 30 Jun 2021, 1.22 juta pelanggan TNB telah memasang meter pintar di Lembah Klang dan Melaka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemasangan meter pintar pada awal fasa ini berfokus kepada bangunan bertingkat tinggi yang mempunyai pihak pengurusan bangunan di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Cyberjaya bagi menjaga penjarakan sosial untuk membendung penularan Covid-19.
“Demi menjamin keselamatan kontraktor dan pelanggan, pemasangan meter pintar ini dibuat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Kata beliau, TNB komited untuk memastikan warga kerja dalam kalangan barisan hadapannya menerima vaksin.
Sehingga hari ini jelas belia, sebanyak 98 peratus daripada hampir 8,000 pekerja barisan hadapan TNB telahpun menerima dos lengkap di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut TNB, pengguna meter pintar menikmati pelbagai kelebihan termasuk dapat memantau dan mengawal penggunaan elektrik mereka menerusi gabungan portal dan applikasi myTNB.
Katanya, secara amnya, lebih 60 peratus pengguna meter pintar TNB telah pun mengguna pakai myTNB.
“Pengguna meter pintar dan myTNB boleh memantau corak penggunaan dalam ringgit atau kilowatt-jam (kWj), melihat notifikasi penggunaan semasa pada hujung kitaran bil, serta impak penggunaan tenaga ke atas alam sekitar,” jelasnya. – UTUSAN










