Kejadian kepala air bukan akibat pembalakan - Utusan Malaysia

Kejadian kepala air bukan akibat pembalakan

Pemandangan dari udara kuari yang didakwa oleh penduduk tempatan antara punca yang menyebabkan fenomena kepala air dan banjir kilat yang menyebabkan kawasan dan kampung yang berada di kaki Gunung Jerai hampir musnah dalam kejadian kepala air. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Penduduk di sekitar Yan dan Merbok dekat sini percaya kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini pada Rabu lalu bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan gunung tersebut.

Mereka mendakwa, sebelum ini, mereka tidak pernah menemui sebarang aktiviti tersebut di kawasan Hutan Simpan Gunung Jerai itu.

Seorang penduduk dari Pantai Murni di sini, Mohd. Razif Hidzir, 44, berkata, kebanyakan kayu balak yang hanyut dalam tragedi itu tumbang selepas dihentam arus deras berikutan hujan lebat pada hari kejadian

Katanya, dia menolak dakwaan terdapat aktiviti penerbangan balak di kawasan tersebut kerana tidak pernah melihat kelibat pekerja yang melakukan kerja-kerja pembalakan di gunung tersebut.

“Lori balak pun saya tidak pernah tengok melalui pekan Yan ini sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penduduk dari Kampung Singkir Laut, Merbok, Pkrus Che Ani , 45, berkata, dia akui kejadian kepala air sering berlaku di Gunung Jerai, namun, tidak banyak kayu balak yang dibawa arus sehingga merosak dan meranapkan beberapa rumah penduduk.

Bagaimanapun, katanya, kayu balak yang hanyut itu bukan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal memandangkan tidak ada aktiviti tersebut sebelum ini.

“Saya difahamkan hutan Gunung Jerai merupakan kawasan hutan simpan yang tidak dibenar untuk diterokai, sebaliknya disebabkan hujan lebat yang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang aktivis masyarakat di sini, Aniza Saadudin, berkata, dia tidak menolak kemungkinan kayu balak yang dihanyutkan arus deras itu dari kawasan pembersihan tanah milik persendirian untuk projek penanaman durian di kaki gunung tersebut.

Menurutnya, kawasan tersebut dipercayai terletak di atas dari kawasan kampung yang terlibat dengan tragedi tersebut.

“Kebanyakan kawasan pembersihan tanah itu dilakukan kira-kira tiga tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, dia juga percaya tidak terdapat aktiviti pembalakan secara sah atau haram di kawasan Hutan Simpan Gunung Jerai itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×