MARAN: Kombinasi secara hibrid membabitkan belajar secara dalam talian dan bersemuka boleh mewujudkan kaedah pembelajaran yang lebih efektif.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Prof. Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, pembelajaran secara dalam talian dipraktikkan disebabkan oleh masalah pandemik Covid-19 yang melanda negara bagi mengelakkan jangkitan dan atas faktor keselamatan.
“Kaedah pembelajaran bersemuka masih merupakan kaedah pembelajaran terbaik memandangkan suasana pembelajaran yang lebih menyeluruh dan kondusif dapat diwujudkan.
“Ia bukan sahaja baik di pihak pelajar tetapi juga bagi pensyarah dan kalangan jurulatih teknikal secara keseluruhannya,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Presiden Akademi Profesor Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Mohd. Nasir Daing Ibrahim dilaporkan berkata, gelembung institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam kampus perlu disegerakan bagi membolehkan sesi pembelajaran secara bersemuka dimulakan sepenuhnya menjelang September atau Oktober ini.
Daing Nasir berkata, pembelajaran secara dalam talian tidak mencukupi kerana tiada bimbingan praktikal dan latihan kemahiran buat pelajar berkenaan.
Beliau berkata, persekitaran kampus membolehkan pelajar berinteraksi, mempunyai aktiviti sukan, aktiviti persatuan dan berinteraksi secara fizikal.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sekolah dianjakkan ke 3 Oktober berbanding perancangan asal pada 1 September ini selepas mengambil kira keadaan pandemik semasa.
Namun, pembukaan institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang pembukaan semester pada September dan Oktober masih menjadi persoalan.
Mengulas lanjut, Mohd. Ilham berkata, kaedah pembelajaran secara bersemuka akan memberikan motivasi untuk pelajar dan pensyarah menyelesaikan kursus dengan lebih lengkap dan jitu dengan gabungan teori serta praktikal yang mantap.
“Apa-apa pun kebaikan pembelajaran secara dalam talian juga ada kebaikannya mengambil kira faedah anjal yang boleh diguna pakai,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










