PETALING JAYA: Perniagaan pusat tuisyen negara ini terpaksa menanggung hutang besar berikutan tidak dibenar beroperasi secara fizikal manakala sesi persekolahan bersemuka turut dihentikan sejak Mac tahun lalu hingga sekarang.
Turut memberi kesan besar ialah pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pembatalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Dalam tempoh pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai ibu bapa memberhentikan anak-anak mengikuti kelas tambahan yang ditawarkan secara dalam talian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha Pusat Tuisyen Idea Unggul dari Selangor, Mohd. Fauzi Bidin berkata, beliau telah membuat pinjaman terkumpul sekitar RM2 juta untuk mengusahakan pusat tuisyen di tiga cawangan miliknya.
Menurut beliau, kos ditanggung setiap bulan lebih RM250,000 iaitu termasuk bayaran pinjaman, sewa bangunan serta gaji pekerja dan guru.
Tiga pusat tuisyen dimiliki Mohd. Fauzi ialah di Kajang dengan kapasiti 22 bilik darjah, Semenyih 19 bilik darjah manakala Putrajaya 17 bilik darjah.
Mohd. Fauzi berkata, sepanjang tahun lalu dan ketika ini perniagaannya merekodkan kerugian sehingga RM370,000.
“Saya, guru tuisyen dan pekerja sengsara. Saya lebih tertekan kerana sewa bulanan anggaran RM50,000 bagi tiga pusat tuisyen perlu dibayar manakala gaji guru sepenuh masa RM2,050 seorang.
“Pada awalnya, saya tidak buang pekerja, tapi lama-kelamaan saya terpaksa lepaskan lebih separuh pekerja dan cikgu disebabkan kekangan kewangan,” katanya yang mempunyai 70 pekerja termasuk cikgu.
Katanya, sebelum pandemik tiga cawangan pusat tuisyennya mempunyai kira-kira 1,200 pelajar tetapi sekarang tinggal kurang daripada separuh.
Mohd. Fauzi percaya pengusaha pusat tuisyen lain menghadapi masalah sama dan tidak mustahil ada yang terpaksa membuat pinjaman dengan ah long.
“Saya juga kerap menerima tawaran ah long tetapi belum lagi terjebak. Bukan senang lepaskan perniagaan ini begitu sahaja sebab sudah banyak yang kita habiskan.” katanya.
Nasib serupa dihadapi pengusaha Pusat Tuisyen Cerdik Minda di Sandakan, Sabah, Muhammad Fazman Mohd Osman yang membuat pinjaman RM120,000 bagi mendirikan pusat tuisyennya pada tahun 2018.
Namun, malangnya bukan sahaja tidak menjana keuntungan tetapi terjebak pula dengan menanggung hutang dan kerugian.
Sejak pandemik, kata Fazman, pusat tuisyennya mengalami kekurangan pelajar sehingga 70 peratus berikutan ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka meneruskan pembelajaran secara dalam talian.
“Kini bukan sahaja menderita dengan hutang tetapi sewa bangunan RM1,800 sebulan dan gaji empat guru sekitar RM4,000 sebulan tetap kena selesaikan.
“Saya terpaksa potong 30 peratus gaji mereka sebulan kerana pendapatan pusat tuisyen yang dikumpul kini sekitar RM9,000 sahaja,” katanya.
Seorang lagi, pengusaha Pusat Tuisyen Gempur Minda juga di Sandakan, Andikah Nurhayat berkata, beliau menghabiskan RM20,000 untuk mengubah suai pusat tuisyennya tetapi malangnya tidak lama selepas itu negara berdepan ancaman pandemik.
Susulan itu, beliau terpaksa memberhentikan empat daripada lapan guru akibat kerugian susulan penutupan operasi ketika tempoh PKP.“Pengumuman tiada peperiksaan UPSR dan PT3 sekelip mata membuat kami pengusaha tuisyen rugi besar kerana pelajar berhenti kelas tuisyen,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM), Mohd. Noor Shafizal Termizi berkata, tempoh PKP menjadi punca semua pengusaha pusat tuisyen `rebah’.
Beliau memberitahu, pusat tuisyen sepatutnya dibenarkan beroperasi dengan penyusunan semula kelas agar murid dan pelajar dalam sesebuah kelas tidak ramai.
“Dalam tempoh pandemik banyak pengusaha pusat tuisyen yang menutup perniagaan dan beralih ke industri lain.
“Ada yang berjaya, ada yang terkapai-kapai dan segelintir menunggu pengumuman gembira kerajaan,” katanya. – UTUSAN










