PUTRAJAYA: Kerajaan baharu dalam tempoh sementara sebelum pembubaran Parlimen pada Jun tahun depan wajar mempertimbangkan sebuah Kabinet Perpaduan yang dianggotai semua parti politik.
Dalam hal itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu menitahkan sebuah Kerajaan Interim Perpaduan itu yang mana Perdana Menteri dipilih, adalah seorang ahli Parlimen yang tiada masalah integriti, boleh diterima semua parti politik untuk menjayakan agenda-agenda kemaslahatan rakyat dan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, fokus utama Kerajaan Interim Perpaduan itu mestilah hanya usaha melawan pandemik Covid-19, program-program membantu rakyat dan memulih ekonomi dan kemasukan pelaburan asing selain menambah peluang pekerjaan dan menyelesaikan pengangguran rakyat.
“Dalam erti kata lain Kerajaan Interim Perpaduan boleh dianggap sebagai tempoh bertenang dan semua pihak terlibat menyelesaikan masalah negara, sebelum menyerahkan balik mandat kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” kata beliau semalam.
Menurut Wan Ahmad, Perdana Menteri ke-9 pula wajar dipilih daripada parti UMNO dan hanya mempunyai pasukan Kabinet kecil dengan portfolio penting sahaja selain tiada lantikan Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, Perdana Menteri akan dibantu tiga menteri kanan iaitu seorang dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) selain dianggotai 16 menteri mewakili parti-parti politik yang mempunyai minimum lima ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Seramai 16 menteri itu ialah masing-masing dua daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, DAP, PKR, GPS, Parti amanah Negara (Amanah) dan Warisan.
“Tempoh Kerajaan Interim Perpaduan ini sehingga Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen pada Jun 2022. SPR ada 60 hari untuk menjalankan PRU-15,” katanya.
Mengulas mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-9, beliau berkata, seorang ahli Parlimen yang dipilih mesti memenuhi tiga ciri utama iaitu seorang berpengalaman dan berkebolehan untuk menerajui Kabinet dan jentera kerajaan.
Selain itu, katanya, seorang berwibawa dan dihormati yang boleh diterima dan mendapat sokongan majoriti semua kumpulan politik yang bertelagah di Dewan Rakyat.
“Beliau juga mestilah seorang yang boleh menerajui Kerajaan Interim Perpaduan yang bersifat inklusif sehingga Parlimen dibubarkan untuk PRU-15.
“Perdana Menteri Ke-9 perlu memiliki kebolehan untuk mencapai empat keperluan sebagaimana dititahkan Seri Paduka Baginda iaitu menghentikan politiking, mengalahkan Covid-19, membantu masalah rakyat dan memulihkan ekonomi,” katanya.- UTUSAN











