Anwar atau Ismail Sabri? - Utusan Malaysia

Anwar atau Ismail Sabri?

Pilihan Perdana Menteri ke-9 sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Ismail Sabri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kedudukan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan tergugat apabila Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat turut berpeluang mengisi jawatan berkenaan.

Hal demikian kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 kerusi Parlimen tidak menyatakan secara jelas sokongan kepada mana-mana pemimpin sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.

Sehubungan itu, Ismail Sabri dan Anwar masing-masing dilihat dalam kedudukan 50-50 dari segi majoriti sokongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Jika Ismail Sabri mendapat sokongan penuh daripada ahli Parlimen GPS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain UMNO dan Pas, Naib Presiden UMNO itu mempunyai peluang cerah iaitu melepasi majoriti mudah 111 dengan memperoleh sebanyak 115 sokongan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, apabila GPS menyatakan pendirian menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemilihan itu, keputusan sokongan terhadap kedua-dua calon berkenaan boleh dikatakan sudah berubah.

“Anwar pula mendapat sokongan penuh daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) selain Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dikatakan telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Presiden PKR itu.

“Jika Anwar boleh mendapat sedikit sokongan lagi daripada ahli Parlimen Bersatu, Pejuang atau sebagainya, Anwar berpeluang cerah.

“Kalau sebelum ini nampak kedudukan lebih selesa memihak kepada Ismail Sabri, namun kedudukan kini sudah 50-50 antara beliau dan Anwar,” katanya.

Terdahulu Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memilih Perdana Menteri ke-9.

Barisan Nasional (BN) kelmarin menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri manakala Pas pula secara konsensus menyokong pencalonan itu dengan semua 18 ahli Parlimen parti itu sudah bersetuju dengan keputusan tersebut.

Rusdi menambah, selain dua pemimpin tersebut, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga dilihat mempunyai peluang.

Bagaimanapun, katanya, jika tidak ada calon yang mempunyai majoriti secukupnya, penubuhan kerajaan perpaduan melibatkan pemimpin daripada pelbagai politik dilihat sebagai pilihan terbaik dengan fokus utama menangani Covid-19, ekonomi dan rakyat.

“Kalau tidak dibentuk kerajaan perpaduan dikhuatiri apabila berlaku pembentukan kerajaan baharu dengan majoriti tipis nanti keadaan sama seperti sekarang akan berulang. Dalam tempoh sekarang, yang menjadi keutamaan adalah menyelesaikan isu Covid-19 dan ekonomi sebelum pilihan raya nanti,” katanya.

Menyokong Rusdi, pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, Ismail Sabri dan Anwar bersaing sengit selain menyifatkan kedua-dua calon mempunyai kelebihan masing-masing.

“Namun kelebihan terkini dilihat memihak kepada Ismail Sabri yang dijangka memiliki sokongan 115 ahli Parlimen sekiranya semua ahli Parlimen UMNO menyatakan keputusan sama.

“Faktor tersebut lebih ketara selepas kepimpinan UMNO bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai calon untuk jawatan berkenaan. Jika ketetapan Majlis Tertinggi UMNO begitu, pasti semua akur,” katanya.

Dalam pada itu, Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak , Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, penerimaan banyak parti dan majoriti kepimpinan UMNO terhadap Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menjadi kelebihan kepada Ahli Parlimen Bera itu memegang jawatan ditinggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Namun, kerjasama UMNO dan Bersatu akan menimbulkan persoalan dan kemungkinan terutama jika kerajaan dibentuk menerusi dua gabungan ini selain parti-parti lain.

“Sebelum ini, Presiden Bersatu, Muhyiddin ada menegaskan untuk tidak bekerjasama dengan kleptokrat dalam pengumuman baru-baru ini. Kita boleh jangka kepada siapa ia ditujukan dan pengumuman itu juga seperti mengisytiharkan perang,” jelasnya.

Bagi Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut dilihat berpotensi menerusi beberapa kenyataan yang menunjukkan beliau mampu memperoleh majoriti membentuk kerajaan.

“ Berbanding Ismail Sabri, Anwar tiada persepsi atau tanda kegagalan dalam mengurus negara dan amanah sebagaimana Perikatan Nasional (PN).

“ Malah beliau ada aura tersendiri dan dilihat sebagai seorang yang berani serta ada karakter untuk menjadi pemimpin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN