Tanpa disedari, kini sudah hampir dua tahun dunia bergelumang dengan pandemik Covid-19. Baru-baru ini, kita dikejutkan pula dengan beberapa insiden bencana alam seperti banjir besar di China, Eropah dan kebakaran hutan di Turki.
Oleh itu, tepat pada masanya untuk kita menyelusur beberapa perkara utama daripada Deklarasi Dhaka 2021 dalam Sidang Kemuncak Lapan Negara Membangun (D-8) yang diadakan secara maya pada 8 April lalu bertemakan Perkongsian ke arah Dunia Transformatif: Memanfaatkan Kekuatan Belia dan Teknologi. Tema ini selaras dengan usaha D-8 untuk meneroka peluang baharu melalui pemerkasaan golongan belia dan teknologi digital bagi memerangi pandemik Covid-19 dan bahaya perubahan iklim.
D-8 ialah sebuah organisasi antara kerajaan yang mementingkan kerjasama ekonomi antara negara-negara membangun. Organisasi ini terdiri daripada lapan negara anggota iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Menurut Deklarasi Dhaka 2021, dalam membendung penyakit kronik seperti Covid-19, negara-negara anggota D-8 mempertimbangkan penubuhan Tabung Penyakit Pandemik. Selain itu, negara-negara anggota diminta menyertai rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa yang menghasilkan vaksin Covid-19 agar kesemua negara anggota dapat menikmati kelebihan dari segi kuantiti dan harga. Semua kementerian kesihatan dan institusi awam serta swasta juga diminta untuk memanfaatkan kemudahan makmal dan pusat penyelidikan sedia ada yang lengkap untuk pemulihan penyakit pandemik.
Persidangan tersebut juga menyambut baik cadangan Bangladesh untuk membentuk Kumpulan Kerja D-8 bagi menangani kepincangan ekonomi akibat Covid-19.
Kumpulan ini bertanggungjawab untuk mengenal pasti cabaran semasa dalam pelaburan dan perdagangan serta mengemukakan penyelesaian ketika dan selepas wabak. Bangladesh akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat Kumpulan Kerja D-8 yang pertama.
Menteri Luar Indonesia turut dipuji atas peranannya sebagai Pengerusi Bersama COVAX AMC EG kerana berjaya memastikan akses vaksin yang selamat dan adil kepada semua. Sekiranya masyarakat global tidak menerima akses vaksin yang adil, ekonomi negara tidak akan pulih.
Perubahan iklim adalah salah satu cabaran terbesar zaman ini dan negara anggota menyuarakan kebimbangan mengenai isu pelepasan gas rumah hijau yang meningkat di seluruh dunia. Negara membangun terutamanya terdedah kepada impak buruk perubahan iklim yang mengancam keselamatan makanan, bekalan air dan punca pendapatan.
PELARIAN
Negara anggota juga mengakui kesihatan negara juga berisiko besar terkesan akibat isu ini. Maka, mitigasi dan adaptasi terhadap perubahan iklim perlu diutamakan pada peringkat global dengan segera. Mereka komited untuk bekerjasama membina ketahanan iklim bagi mengurangkan padah buruk terhadap rakyat di negara membangun seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang juga pengerusi Climate Vulnerable Forum.
Selain kedua-dua isu tersebut, kesemua negara anggota juga dipuji kerana sanggup menerima pelarian dari negara jiran dan memberikan sokongan meskipun sedang bergelut dengan masalah ekonomi ketika penularan pandemik. Namun, Sheikh Hasina mendesak pemimpin negara-negara membangun agar menekan Myanmar supaya mengambil kembali etnik Rohingya memandangkan negaranya yang menerima 1.2 juta pelarian Islam dari Myanmar perlu menanggung kesan dari segi ekonomi, masyarakat dan persekitaran sekiranya krisis berterusan.
Seterusnya, Malaysia dan negara anggota lain bersetuju menerima Pelan Hala Tuju Sedekad D-8 2020-2030 sebagai pemangkin pencapaian D-8 dalam 10 tahun mendatang. Pelan hala tuju tersebut diperbaharui selepas pelan pertama tamat tempoh pada 2018. Semua pemegang amanah ditegaskan agar memainkan peranan dalam menjayakan pelan hala tuju berkenaan. Tahun ini, negara anggota berada pada fasa pertama hala tuju iaitu dari 2020 hingga 2022 yang memberikan fokus kepada kerjasama pelaksanaan dan pembangunan sektor ekonomi serta perdagangan.
Setiausaha Agung D-8, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari turut diberikan penghargaan kerana kecemerlangan dan usahanya sepanjang tiga tahun lalu. Duta Besar Nigeria, Isiaka Abdulkadir Imam dicalonkan sebagai pemangku seterusnya. Mereka juga mengucapkan penghargaan kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan atas kepemimpinan, komitmen dan dedikasi beliau dalam mempromosikan objektif D-8 semasa tampuk pemerintahannya sebagai Pengerusi D-8.
Kejayaan kerajaan Bangladesh dan rakyatnya menganjurkan Sidang Kemuncak D-8 kali ke-10 juga dipuji. Negara anggota mengucapkan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri Bangladesh setelah dilantik sebagai pengerusi baharu. Mereka juga mengalu-alukan tawaran Mesir untuk menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak D-8 seterusnya pada tarikh yang bakal dibincangkan.
Diharapkan selepas Sidang Kemuncak D-8 kali ini, negara-negara membangun dapat bekerjasama dalam membangunkan negara dan menyelesaikan krisis-krisis penting yang mengancam kelestarian negara dan rakyat.
Semoga Malaysia dapat bangkit semula dan memulihkan keadaan negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19, terutama masalah kemelesetan ekonomi yang melanda sekarang.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










