Tanggungjawab besar penjawat awam - Utusan Malaysia

Tanggungjawab besar penjawat awam

JPA mengeluarkan amaran agar penjawat awam mengambil vaksin atau berisiko dikena tindakan tatatertib. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA semua mata tertumpu kepada senarai calon yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, jangan kita lupa tanggungjawab besar dan peranan signifikan yang sedang dipikul oleh perkhidmatan awam. Tanpa menteri dan timbalan menteri, pengurusan dan pentadbiran setiap kementerian kini terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab penjawat awam.

Ironinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri sementara tidak ada barisan Kabinet untuk membantunya dan hanya akan menjalankan kerja-kerja administratif sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. Maka jelas sekali sistem pengurusan dan pentadbiran negara kini bergantung harap sepenuhnya pada kecekapan perkhidmatan awam.

Kenyataan media yang segera dikeluarkan secara serentak oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman semalam memperincikan dengan jelas komitmen dan tanggungjawab perkhidmatan awam dalam meneruskan fungsi dan peranan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Misalnya, Mohd. Zuki memberi jaminan dalam mendepani situasi politik semasa, perkhidmatan awam akan terus komited bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar sedia ada. Tambahnya lagi, urusan pentadbiran perkhidmatan awam tidak akan terkesan di samping penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementera itu, kenyataan Mohd. Khairul Adib pula mengingatkan semua penjawat awam untuk terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa agar dasar dan program negara berjalan dengan lancar. Penjawat awam juga diingatkan berpegang kepada prinsip neutral dan tidak berpolitik di mana kesetiaan penjawat awam adalah kepada raja, negara dan kerajaan.

Hakikatnya, kita berhadapan dengan perubahan landskap politik negara tatkala rakyat sedang mengharungi krisis kesihatan dan ekonomi yang cukup serius. Sewajarnya segala tumpuan perlu diberikan kepada usaha untuk menangani pandemik Covid-19 serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara. Namun, apa yang sedang berlaku adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang tidak dapat dielak.

Justeru, segala tumpuan kini terarah kepada peranan dan tanggungjawab perkhidmatan awam dalam memastikan semua dasar dan program berjalan dengan lancar. Ia dilihat tidak menjadi satu masalah yang besar kerana penjawat awam sentiasa menjunjung taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

WABAK
Justeru dalam hal ini, situasi politik semasa tidak boleh sama sekali mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam. Misalnya, pelbagai inisiatif yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan untuk menangani penularan wabak dan memulihkan ekonomi perlu diteruskan tanpa sebarang gangguan. Penjawat awam terutamanya barisan petugas hadapan perlu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai sasaran dan matlamat yang ditetapkan. Hal ini penting kerana hanya vaksinasi dan imuniti kelompok dilihat satu-satunya cara terbaik untuk kita kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan segera.

Jadi, para petugas perubatan diharap tidak terganggu dengan kemelut politik sebaliknya terus melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi harian melebihi 500,000 dos secara konsisten agar kita dapat mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober kelak.

Di samping itu, lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang telah diumumkan sebelum ini juga perlu dilaksanakan tanpa sebarang gangguan. Penjawat awam sebagai kelompok pelaksana perlu memastikan semua insentif dan bantuan yang disediakan sampai kepada kumpulan sasaran dengan cekap dan pantas. Hal ini penting kerana terlalu ramai yang terkesan akibat serangan wabak dan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Secara umumnya, inilah masa untuk semua ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan membuktikan kemampuan masing-masing dengan memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memastikan keseluruhan jentera pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan. Dengan kemahiran dan pengalaman yang ada, saya cukup yakin semua ketua perkhidmatan dapat melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi dan efisien.

Dalam hal ini, kita yakin tiga institusi yang menjadi tonggak penting perkhidmatan awam, iaitu Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dapat menggembleng dan menyelaras semua ketua jabatan dan penjawat awam supaya dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang. Ringkasnya, inilah juga masanya untuk kita memartabatkan ketiga-tiga institusi tersebut dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya sebagai nadi dan tiang seri sistem pentadbiran negara.

Tuntasnya, perkhidmatan awam sedang memikul tanggungjawab yang cukup besar. Walau apa pun situasi politik, penjawat awam perlu memastikan jentera pengurusan dan pentadbiran negara berfungsi seperti biasa. Justeru, semoga sikap berkecuali, pemikiran yang matang dan profesional serta kesedaran untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan berpaksikan kepada mantra Berkhidmat Untuk Negara dapat membantu penjawat awam dalam meneruskan momentum sekali gus melestarikan kecemerlangan perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

PENULIS ialah pentadbir dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×