PERKIRAAN ahli dan parti politik didapati selalu tidak sama dengan pertimbangan rakyat.
Ini jelas kelihatan pada penawaran politik kompromi untuk menstabilkan keadaan kini yang banyak menjejaskan urus tadbir negara, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19 yang pula mempunyai dampak buruk kepada ekonomi negara. Ia rata-ratanya ditolak dengan alasan yang ternyata memperlihat kerakusan ramai ahli politik kita.
Namun, terdapat segelintir amat kecil yang bukan sahaja begitu rasional, tetapi juga memperlihat jiwa negarawan pada saat segenting kini untuk bersama-sama mengatasi krisis kesihatan sekali gus krisis ekonomi. Sudah tentu mereka ini mengetepikan ego peribadi semata-mata untuk ikut menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan negara.
Mereka ini sesungguhnya sudah lama bersikap sedemikian sepanjang kerjaya politik mereka yang walaupun baharu sahaja dengan senantiasa waras dan wajar dalam kebanyakan tindakan politik mereka.
Sebenarnya negara amat memerlukan lebih ramai ahli politik begini yang berpolitik rasmi, yakni bagi kebaikan rakyat dan negara serta bukannya hanya cuma untuk kepentingan peribadi dan parti politik mereka.
Tawaran kompromi itu hendaklah dinilai dari segi manfaatnya yang besar kepada rakyat dan negara. Lagipun, ia merupakan tuntutan politik formal yang didesak rakyat selama ini. Selanjutnya, ia boleh memastikan pelbagai reformasi diadakan dalam waktu sesingkat 10 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijanjikan pada Julai 2022.
Jauh lebih penting ialah penerimaan tawaran ini akan mengakhiri kemelut politik sengit yang wujud kini, yang bukan sahaja amat diingini rakyat tetapi lebih penting lagi ia akan memastikan usaha rancak kini untuk memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara tidak akan sesekali terbantut.
Penerimaan tawaran ini tidak akan sesekali merugikan rakyat. Oleh itu, ia wajib diterima demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan hati terbuka.
Namun, bagi ahli politik yang bangsat lagi bajingan, ia akan merugikan mereka khususnya peluang berkuasa bukan sahaja untuk parti tetapi diri sendiri.
Sebenarnya mereka yang menolaknya adalah mereka yang pada sepanjang kerjaya politik mereka dan yang lama pula adalah ahli politik yang mengamalkan politik tidak formal, iaitu untuk hanya keuntungan diri dan parti sendiri.
Sebenarnya tawaran ini juga baik untuk kedua-dua pihak yang bersaing, yang antaranya merangkumi dasar negara digubal bersama, perundangan menghalang lompat parti dan perwakilan seimbang dalam pelbagai jawatankuasa Parlimen adalah terlalu baik bagi negara untuk ditolak begitu sahaja, khususnya atas kepentingan politik peribadi dan parti.
TALIAN HAYAT
Demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, tawaran dwipartisan ini sepatutnya diterima. Sehubungan itu, penerimaan oleh semua ahli politik sebenarnya bukan pun talian hayat kepada pihak tertentu, ia lebih kepada menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke dalam kancah kehancuran, angkara bikinan ahli politik untuk mengekal dan merebut kuasa.
Oleh itu, tiada kemuliaan lain yang lebih syahdu pada saat amat genting ini untuk semua ahli politik menerima tawaran ini seadanya sementara menunggu PRU-15 untuk bersaing semula.
Pengorbanan setiap seorang mereka ini juga adalah untuk mengelak PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat ini semasa kita masih berhadapan krisis kesihatan yang terus mengganas.
Sebetulnya kemelut politik kini harus diselesaikan oleh rakyat sendiri dan bukannya wakil rakyat. Ini kerana wakil rakyat tidak selalu bertindak mengikut kehendak rakyat.
Oleh itu, pembubaran Parlimen lebih baik daripada pelantikan ketua kerajaan baharu. Ia boleh ditunda sehingga satu tarikh yang mengizinkan.
Dalam pada menunda itu, mengapa tidak tawaran ini dijadikan pilihan kerana mempunyai banyak manfaat kepada rakyat dan negara, lebih-lebih lagi faedah suasana harmoni?
Tidak dapat dinafikan, penerimaan tawaran ini pada ketika ini tidak selari dengan perhitungan politik pihak tertentu yang menganggapnya sebagai peluang keemasan untuk bertindak bagi mendapat kuasa.
Namun, dalam keadaan semua pihak juga lemah untuk mengatasi satu sama lain, jalan terbaik adalah menerimanya selain berunding bagi memantapkan kedudukan masing-masing sebagai entiti politik berpotensi pada PRU-15.
Natijahnya di sini yang jauh lebih penting dalam tawaran dwipartisan ini ialah ia membuka lembaran baharu dalam bidang politik negara. Ia patut dimulakan sekarang bagi dimantapkan pada masa mendatang untuk mencari jalan tengah melalui kompromi antara pihak yang bersaing.
Ia baik kerana boleh mengelakkan perbalahan, khususnya yang sengit yang akan memudaratkan negara seperti yang berlaku ini.
Sehubungan itu, ia mempunyai pelbagai manfaat. Antaranya kedaulatan negara utuh kerana ada perpaduan, penjimatan kos sebab tiada persaingan lagi, peruntukan semua ahli Parlimen sama rata untuk kebaikan rakyat dan peningkatan prestasi pemerintahan negara sekali gus citranya. Paling penting lagi ialah kepastian dasar utama negara digubal bersama.
Namun, semua ini tidak mahu diendahkan kerana ahli politik tiada empati terhadap rakyat. Yang selalu difikirkan mereka ialah kuasa banyak yang sering disalahgunakan.
Dengan menolak tawaran ini, sebetulnya negara kehilangan kesempatan baik dalam waktu terdekat untuk mengamalkan politik bestari bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.











