‘Keramat’ Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

‘Keramat’ Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWAN Yang Mulia ini bukan sebarang dewan. Dewan Rakyat bertuah ini ada tuannya.

Ia bukan milik mutlak sesiapa dari kalangan ahli politik, waima Perdana Menteri yang silih berganti berdekad-dekad sekali pun – kerana pemilik sebenarnya adalah rakyat.

Dewan bertuah ini juga kalau tidak kena gaya akan dilupakan asal usul dan martabatnya jika perebutan kuasa jadi taruhannya. This is the house that Jack built. Ini bukan rumah yang dibina oleh Dr. Jekyl. Berpeluangnya wakil-wakil kepada rakyat bertikam lidah di dalamnya, berpeluangnya mereka membuat perangai dan melahirkan tindak tanduk perundangan dan politik di Dewan ini tetap dalam penyaksian setiap keping atapnya, setiap benteng dindingnya dan setiap batang tiang serinya.

Jumaat 13 Ogos yang baru berlalu mengejutkan seluruh negara pasal politik kuasa ‘norma baharu’, bipartisan. Realitinya, isu politik kuasa mencetuskan polemik dan kemelut berpanjangan melanda Malaysia selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang 9 Mei 2018. Politik gaya ini diamalkan sepenuhnya secara membujur lalu melintang patah dalam pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ini menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru berkuasa selama 22 bulan dalam ‘Langkah Sheraton.’ Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memasuki 17 bulan akan mengikut jejak sama?

MELAYU BERPECAH

Perlu diingatkan di sini, apabila sesuatu kumpulan itu berkuasa menerusi perjuangan politiknya, kecenderungannya untuk meneruskan kuasa yang ada amatlah besar dan terpenting baginya. Maka harus difahami bagaimana dan kenapa seseorang pemimpin itu bermati-matian berusaha untuk berkuasa – walau apa pun kos dan risiko terpaksa dihadapi. Sekali pun terpaksa mengurung penentang-penentangnya dalam penjara atau menimbulkan azab sengsara bagi musuhnya melalui pelbagai kerumitan sosioekonomi.

Hari ini, orang Melayu terbahagi dan berpecah lantaran politik kuasa. Dan ternyata, perpecahan sekarang tercetus atas soal kepimpinan. Tahap perpecahan kini sebenarnya lebih dirasai kerana jenis perpecahan yang dialami mungkin merosakkan proses kuasa itu sendiri.

Berbanding politik Melayu, ada kalangan kita mengagumi kesatuan kaum lain untuk mencorakkan politik Malaysia mengikut hasrat yang mereka kehendaki. Dan tidak ada salahnya orang Melayu mencontohi sentimen seumpama ini. Bak kata pepatah Inggeris: Imitation is the best form of flattery (Peniruan adalah bentuk sanjungan yang tertinggi).

Dalam dua pilihan raya lepas terutamanya, corak pengundian kaum berkenaan tidak dibezakan sama ada seseorang itu Buddha, Taoism dan Kristian. Lebih menarik lagi, ramai mengakui ahli-ahli MCA dan Gerakan turut mengundi parti lawan induknya, sekali gus menyebabkan BN yang mereka anggotai kalah teruk.

Di ambang PRU-14, orang  Melayu-Muslim berpecah kepada lima kumpulan iaitu UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR serta Parti Amanah Negara (Amanah). Inilah kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri dalam era moden yang tidak dapat menguruskan perbezaan. Atau barangkali permainan pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah.’

Secara kasarnya dari keputusan PRU-14 boleh dianggarkan UMNO memiliki 42 peratus sokongan kaum Melayu-Muslim, Pas (33%), Bersatu (15% ) dan PKR/Amanah (10%).

 

BERPELUANGNYA wakil-wakil kepada rakyat bertikam lidah di dalamnya, berpeluangnya mereka membuat perangai dan melahirkan tindak tanduk perundangan dan politik di Dewan ini tetap dalam penyaksian setiap keping atapnya, setiap benteng dindingnya dan setiap batang tiang serinya.

MUSLIHAT

Dalam mengekang muslihat dan tipu helah perebutan kuasa, seharusnya suatu aspek tradisi kepimpinan yang diamalkan ialah proses tertib dan asuhan menaiki jenjang kepimpinan. Itu sebabnya sistem latihan atau apparentice system dalam parti dan kerajaan penting. Namun kepimpinan sekarang tidak begitu menghiraukan sangat tentang tradisi ini. Pengkelasan pemimpin dan kepimpinan dibuat secara  membelakangkan tradisi asuhan ini mengikut desakan politik kuasa masing-masing.

Maka muncullah barisan kepimpinan baharu yang keterlaluan dengan tindak tanduk ad hoc tidak tentu arah. Seolah-olah dunia ini mereka saja yang punya.

Dan memimpinlah mereka tanpa susah payah. Tanpa pernah merasai pahit maung berjuang dari bawah. Berjenjang naik bertangga turun tidak penting lagi dalam program mencipta hierarki kepimpinan pada masa ini. Akibatnya, sebahagian besar pergolakan politik hari ini dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin kategori ini – kerana mereka tidak hirau tentang asam garam perjuangan yang membuat sesebuah parti itu kukuh dan bertatasusila dalam segala perlakuannya.

Harus diingat, tujuan pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Tetapi jika tersalah pilih, rakyat hanya akan mendapat ‘kerajaan dan para pemimpin’ yang asyik untuk berkuasa sahaja.

Jangan hanya kerana disogokkan dengan jawatan dan imbuhan tertentu hanya kerana untuk meletakkan seseorang pemimpin itu  sewenang-wenang terus berkuasa, biarpun kerajaannya terang-terang tiada majoriti.

Kerana – majoriti itulah punca kestabilan, sekali gus kekuatan kerajaan  yang dibawa pemiliknya  ke Dewan Rakyat yang ‘keramat’  untuk manfaat seluruh Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×