ADA yang begitu gusar dengan senario politik tempatan semasa yang dianggap begitu keterlaluan dalam keadaan pandemik masa kini. Ramai berpendapat, tumpuan kerajaan seharusnya menjerumus kepada tadbir urus hal negara, bukannya politik kepartian.
Kegusaran rakyat itu ada kebenarannya kerana persepsinya, kerajaan akan hilang tumpuan apabila diserang bertubi terutama sekali hal berkait keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Tetapi sebenarnya kemelut politik yang melanda tanah air pada era pandemik Covid-19 juga sering tercetus di tempat lain. Cuma berbeza ialah jalan penyelesaian diambil oleh mereka yang terlibat.
Pada Januari lalu, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte letak jawatan kerana kehilangan majoriti apabila parti sekutu beliau, Italia Viva menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Conte yang dituduh cuai dalam mengurus pandemik di negara itu. Sebenarnya Conte tidak perlu letak jawatan kerana boleh terus memimpin kerajaan minoriti. Tetapi strategi letak jawatan digunakan untuk membolehkan Conte membentuk kerajaan dengan sokongan baharu atau apa yang lebih dikenali dalam konteks politik tanah air, jajaran baharu.
Tepat sekali andaian Conte kerana Presiden Itali sememangnya tidak mahu membubarkan Parlimen ketika pandemik di Itali belum reda dan Conte telah diberi peluang pendahulu untuk membentuk kerajaan. Tetapi hakikatnya Conte dan pemimpin parti politik yang lain apabila diberi peluang untuk membentuk kerajaan oleh Presiden Itali, kesemua mereka gagal memperoleh sokongan majoriti. Akhirnya Mario Draghi, seorang ahli korporat yang bukan seorang wakil rakyat dipilih sebagai perdana menteri apabila memperoleh sokongan majoriti di Parlimen.
Sama juga dengan kerajaan minoriti Parti Liberal pimpinan Justin Trudeau semenjak memenangi piliha raya Kanada pada 2019, telah empat kali diuji dengan undi tidak percaya dan setiap kali itu juga berjaya melepasi rintangan. Kalau ikutkan Trudeau, beliau teringin sangat untuk bubar Parlimen tetapi pandemik menghalang strateginya. Mandat kerajaan Trudeau akan berakhir pada Oktober 2023.
UNIK
Serupa juga pada hujung Jun lalu apabila Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven terpaksa melepaskan jawatan apabila kehilangan sokongan majoriti setelah tewas dalam undi tidak percaya apabila parti yang selama ini menyokong beliau iaitu Parti Left menarik balik sokongan mereka kerana kurang puas hati dengan cara Lofven menangani pandemik. Tetapi berbeza dengan nasib Conte, Lovlen berjaya dilantik semula sebagai perdana menteri apabila memperoleh kelebihan dua undi majoriti dalam Riksdag (Parlimen) yang mempunyai 349 kerusi.
Perlembagaan Sweden agak unik sedikit berbanding Malaysia dalam kes berkait perdana menteri yang memerlukan sokongan majoriti. Di Sweden, calon perdana menteri hanya boleh dihalang jika mendapat undi tidak percaya majoriti, iaitu sebanyak 175 undi. Dalam undi untuk menolak pencalonan Lovlen, hanya 173 undi menentang pencalonan tersebut.
Jika di Malaysia, ahli Parlimen yang tidak mengikut arahan parti adalah berita yang lazim tetapi apabila salah seorang wakil rakyat Riksdag engkar arahan parti dalam undi menghalang pencalonan Lovlen, ia menjadi berita paling hangat di Sweden.
Tetapi paling menarik mengenai kemelut siapa yang paling layak menjawat jawatan perdana menteri ialah di Israel. Pemimpin parti Likud, Benjamin Netanyahu gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya pada Mac 2021 apabila parti beliau tidak mampu meraih kemenangan majoriti. Sebenarnya Netanyahu gagal dua kali untuk membentuk kerajaan.
Pertama, gagal memperoleh undi majoriti dalam pilihan raya dan kali kedua, apabila Presiden Israel memberi peluang pertama dalam kalangan parti lain untuk membentuk kerajaan. Gabungan yang diketuai bekas menteri petahanan Kabinet Natanyahu, iaitu Naftali Bennett dan ketua pembangkang, Yair Lapid berjaya menamatkan era Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel paling lama apabila memperoleh sokongan majoriti dengan kelebihan satu undi sahaja dalam Knesset (Parlimen).
Paling menarik ialah demi untuk singkir Netanyahu sebagai perdana menteri, gabungan yang menentang beliau terdiri daripada pelbagai parti dari fahaman ekstrem kanan yang diwakili Yamina, New Hope dan Yisrael Beitenu sementara parti fahaman ekstrem kiri pula diwakili Meretz. Parti fahaman tengah yang terdiri daripada Yesh Atid, Blue & White dan Buruh juga membentuk kerajaan Israel yang baharu.
Paling menakjubkan buat pertama kali dalam sejarah politik Israel, parti yang mewakili kepentingan rakyat Israel keturunan Arab iaitu Arab Raam turut berada dalam kerajaan.
Apa yang tercetus di Itali, Kanada, Sweden dan Israel adalah manifestasi percaturan politik dalam menubuhkan kerajaan melalui pelantikan jawatan perdana menteri.
Pelbagai kaedah digunakan samada mempertahankan atau mencabar jawatan terpenting itu digunakan dan paling penting ialah setiap percaturan mesti menuruti kaedah yang dibenarkan oleh perlembagaan negara masing-masing.
Sama juga di tanah air, ada pihak tidak puas hati dengan kaedah kerajaan PN mempertahankan jawatan perdana menteri. Tetapi selagi cara tersebut dibenarkan dan lebih penting tidak ditegah oleh perlembagaan, maka seharusnya strategi percaturan tersebut diterima oleh semua pihak walaupun ada yang berpendapat kerajaan PN bertindak secara tidak adil dan berat sebelah.
PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.










