PN kini tinggal 100 kerusi - Utusan Malaysia

PN kini tinggal 100 kerusi

sosma
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tuntutan Istana Negara mengenai jumlah kerusi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Rak­yat sudah dijawab oleh Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun.

Dalam surat bertarikh 9 Ogos yang dilihat dan diperoleh Utusan Malaysia, Azhar memberitahu, bilangan kerusi PN di Dewan Rakyat kini adalah 100 kerusi.

Surat yang ditandatangani Azhar itu adalah sebagai maklum balas kepada surat Pengelola Bijaya Diraja pada tarikh sama.

Dalam suratnya, Azhar berkata, baki 100 kerusi itu disahkan selepas ditolak daripada 106 ke­rusi yang diterimanya pada 3 Ogos lalu.

Menurut Azhar, enam kerusi yang hilang daripada PN telah dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mela­lui surat bertarikh 4 Ogos kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia melibatkan penarikan sokongan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis).

Tiga lagi ahli Parlimen ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang) dan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Azhar cuba dihubungi Utusan Malaysia namun tidak memberi respons setakat ini.

Majoriti mudah di Dewan Rakyat ialah 111 kerusi daripada keseluruhan 220 kerusi ahli Parlimen, tidak termasuk Parlimen Gerik dan Batu Sapi yang kosong berikutan kedua-dua pe­nyandangnya meninggal dunia.

Sementara itu, Utusan Malaysia turut memperoleh beberapa maklumat tentang perkara yang dibincangkan dalam pertemuan antara Muhyiddin dengan pe­mimpin PN di Putrajaya, pada Rabu lalu.

Antaranya ialah sokongan ahli Parlimen pembangkang dalam usul undi percaya terhadap Muhyiddin.

Sumber memberitahu, PN yakin untuk meraih majoriti dan akan disusuli satu rombakan Kabinet demi memastikan survival kerajaan bertahan sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tarikh terkini bagi membentangkan undi percaya di Parlimen adalah pada 7 September dan bukannya 18 Ogos seperti didakwa.

Katanya, Setiausaha Dewan Rakyat sudah pun menyerahkan notis pemberitahuan kepada semua ahli Parlimen mengenai perkara berkenaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×