AR-RAUDHAH
Menjadi tanggungjawab setiap hamba yang ingin mendapat keredaan Allah SWT untuk membersihkan hati daripada noda-noda yang ada di dalamnya. Ini agar perkara-perkara yang tidak disukai-Nya hilang daripada apa yang akan dihitung oleh Allah di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang rupa paras dan tubuh badan kamu, akan tetapi yang dipandang oleh Allah adalah hati kamu. (Riwayat Muslim).
Apabila kita mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati ini menjadi tempat yang sentiasa dipandang oleh Allah, kita perlu bertanya diri kita. Apakah ketika Allah melihat hati kita ia dipenuhi dengan perkara-perkara yang disukai-Nya atau sebaliknya?
Apakah kita rela ketika hati ni dipandang oleh Allah ia berada dalam keadaan yang lalai dan telah mati? Persoalan-persoalan ini sentiasa perlu kita insafi agar Allah SWT sentiasa melindungi kita daripada sesuatu yang memutuskan hubungan hati kita dengan Allah.
Hati yang terputus hubungan dengan Allah SWT boleh jadi dengan pandangan mata yang melihat sesuatu yang haram yang kemudiannya masuk ke dalam hati.
Boleh jadi juga dengan mendengar perkara-perkara batil melalui telinga atau mengucapkan kata-kata buruk dan batil daripada lisan mahupun tulisan yang kemudiannya masuk ke dalam hati.
Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT tidak sesekali akan memandang hati yang di dalamnya terlalu banyak sampah ataupun noda kotoran. Ia natijah perbuatan mana-mana anggota tubuh badan atau hati yang sudah dihinggapi penyakit-penyakit berbahaya seperti hasad dengki, riak, sombong, buruk sangka kepada orang lain dan lain-lain.
Kita perlu sentiasa memohon dan merayu kepada Allah SWT agar dibersihkan hati kita daripada segala kotoran tersebut melalui bacaan al-Quran, zikir dan selawat kepada Rasulullah SAW.
Bahkan berdoa kepada Allah supaya dibersihkan hati merupakan antara doa para nabi seperti doa Nabi Musa a.s. dalam al-Quran yang bermaksud Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku tugasku. (Taha: 25-26)
Bukankah hari ini ramai manusia yang badannya sihat akan tetapi hatinya sakit. Pandangan matanya sihat tetapi menjadi pintu kepada virus memasuki hatinya melalui pandangan-pandangan yang mungkar.
Telinganya sihat tetapi menjadi pintu laluan kepada perkara-perkara mungkar yang tidak lain akan masuk ke dalam hati.
Dalam hal ini, baginda SAW bersabda yang bermaksud: Seseorang hamba itu apabila melakukan sesuatu dosa akan diberikan titik hitam di hatinya, apabila bertambah dosa yang dilakukan, bertambah jua titik hitam di hatinya sehingga ia menjadi gelap dan keras. (Riwayat an-Nasaie).
HATI GELAP
Hati yang sudah gelap dan keras akan menyebabkan sukar menerima nasihat orang lain. Lebih malang, menjadikan sukar untuk menitiskan air mata untuk bertaubat kepada Allah SWT.
Boleh jadi hari ini ramai orang yang menangis kerana barang yang hilang, tidak berjaya dalam peperiksaan, hilang kedudukan dan jawatan, perniagaan yang lumpuh atau apa sahaja keinginan dunia yang tidak tercapai. Tetapi tanya kepada diri kita sendiri apakah pernah kita menangis kerana khusyuk dalam solat?
Pernahkah kita menangis ketika menginsafi maksud ayat al-Quran yang dibaca? Berapa banyak kali pernah kita menangis kerana dosa-dosa kita kepada Allah?
Pernah suatu hari Rasulullah SAW mendengar satu kumpulan para sahabat yang sedang duduk berbicara sesuatu yang sambil bergelak ketawa.
Baginda menghampiri mereka dan bertanya “Apakah kalian telah dijamin memasuki syurga sehingga sempat kalian tertawa sebegini ketika di dunia?”
Teguran Rasulullah SAW kepada para sahabat bukanlah kerana ketawa mereka atas perkara yang mungkar, namun oleh sebab kedudukan mereka yang ditarbiah langsung oleh baginda agar tidak lalai daripada mengingati Allah SWT.
Mengubati hati yang keras dan lalai daripada mengingati-Nya adalah dengan memperbanyak zikir. Zikir ini boleh jadi sama ada dengan membaca al-Quran, berzikir menyebut nama-nama Allah, berselawat ke atas baginda SAW mahupun dengan mengkuti majlis-majlis ilmu.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan berzikir kepada Allah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (al-Ra’d: 28)
Seorang sahabat nabi, Abu Dhomdhom yang pernah nabi memberikan perumpamaan kepada para sahabat dengan berkata: “Apakah kalian tidak mampu untuk menjadi seperti Abu Dhomdham?”
Beliau setiap kali keluar dari rumah akan berdoa: “Ya Allah aku ingin bersedekah di atas kehormatan dan maruahku dan tidak akan sesekali menuntut siapa sahaja yang memaki dan mencaciku.”
Itulah harapan nabi kepada kita agar hati kita tenang dari segala penyakit ketika bertemu dengan orang lain. Berbeza dengan zaman ini, di mana bersaing antara satu sama lain baik di Facebook, Whatsapp dan lain-lain dengan gambar dan video bertujuan menanam kebencian orang kepada orang lain.
Inilah penyakit yang merisaukan Rasulullah SAW yang menimpa kepada umatnya iaitu perasaan hasad dan dengki sesama mereka.
Semoga dibersihkan hati kita dari segala bentuk kotoran dan penyakit agar bila tiba hari kita bertemu dengan Allah SWT, maka bertemunya kita dengan hati yang sejahtera dan bersih. Amiin Allahumma amiin.

- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










