SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijangka menerima Naib Canselor baharu, dengan sumber dalaman mengesahkan pelantikan Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor sebelum ini ditangguhkan tidak dikekalkan.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, pelantikan baharu akan diumumkan pada 15 Ogos ini daripada tiga nama yang telah disyorkan untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Cuma dari segi undang-undang pun, nama yang dipilih itu memang layak, tak ada masalah pun,” katanya di sini, semalam.
Beliau menambah, terdapat tiga nama dipilih oleh Jawatankuasa Khas Temuduga Pemilihan Naib Canselor yang dipengerusikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Zarinah Sameehah Anwar.
Sumber itu memberitahu, Perkara 20, Akta UiTM (Akta 173) menyebut pelantikan Naib Canselor adalah dibuat oleh menteri yang bertanggungjawab iaitu Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sementara ‘restu’ Perdana Menteri hanyalah amalan oleh kerajaan terdahulu.
Tambahnya, ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir, menteri akan memaklumkan kepada Perdana Menteri sebagai tanda hormat memberitahu pelantikan Naib Canselor, khususnya UiTM yang membawa agenda pembangunan orang Melayu dan Bumiputera.
“Dalam akta (173), kuasanya adalah menteri, cuma ketika zaman BN, menteri dan Perdana Menteri berada dalam parti yang sama, jadi ada amalan menghormati Perdana Menteri dengan memaklumkan pelantikan Naib Canselor. Dari segi akta, Perdana Menteri tiada kuasa,” jelasnya
Sumber turut mendedahkan, Roziah pada peringkat awal dikatakan menerima arahan pembatalan pelantikan atas alasan tidak mendapat ‘restu’.
Namun, beliau menafikan alasan terbabit kerana tiada keperluan bagi Perdana Menteri untuk berbuat demikian dan memaklumkan Ketua Setiausaha Negara mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi menangguhkan pelantikan.
“Tidak berasas kerana punca kuasa tak kuat, tidak ada emel, minit tak ada apa. Hinggalah Ketua Setiausaha Negara menelefon Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, minta buat satu surat bukan batal, tetapi penangguhan. Pukul 12 tengah hari dapat surat, pukul 1 petang dapat panggilan daripada kementerian, antara pukul 5.30 hingga 6 petang baru kementerian hantar surat kata tangguh.
“Sekarang ini, tiga orang inilah yang ranking tiga teratas,” jelasnya.
Namun penyelesaian kepada konflik berkenaan, sumber itu menyarankan supaya kementerian melantik Naib Canselor dalam kalangan orang luar bagi mengelakkan berlaku konflik atau suasana tidak harmoni apabila salah seorang daripada tiga nama berkenaan dipilih menjawat jawatan eksekutif nombor satu UiTM itu.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Pengerusi UiTM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah memberitahu amalan pelantikan Naib Canselor universiti itu perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri.
Sebelum ini, UiTM dilaporkan bakal menerima Naib Canselor wanita pertama, Roziah yang berkuat kuasa pada 8 Ogos lalu sehingga 11 Oktober 2023, bagaimanapun pelantikan itu ditangguhkan selepas beliau menerima sepucuk surat pada 7 Ogos.
Penangguhan pelantikan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan peletakan jawatan oleh Noraini sebagai Menteri Pengajian Tinggi 6 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Shukri Ishak menganggap jawatankuasa pemilihan sudah pun membuat keputusan yang tepat memilih Roziah sebagai Naib Canselor baharu berdasarkan merit dan kelayakan dipertimbangkan bekas Menteri Pengajian Tinggi.
“Pelantikan Roziah jika berlaku menjadikan beliau sebagai Naib Canselor wanita pertama UiTM, sekali gus mendukung aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita,” katanya. – UTUSAN










