ISU yang sangat menarik dalam situasi politik sekarang, apakah UMNO akan mampu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah ia mengambil keputusan drastik untuk mengarahkan ahli-ahli Parlimennya keluar daripada kerajaan PN dan mengundi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 3 Ogos lalu?
Mengapakah isu ini menjadi kontroversi? Ini kerana tindakan tersebut tidak menggambarkan UMNO secara keseluruhan menolak PN tetapi adalah tindak balas daripada sikap diktator Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempengaruhi kepimpinan UMNO lain sehinggakan terdapat dalam kalangan menteri UMNO melepaskan jawatan kerana arahan parti.
Sikap seperti ini adalah amalan tidak subur dalam sistem demokrasi yang akhirnya membawa kepada perpecahan UMNO itu sendiri yang tidak setia kepada janji Mufakat Nasional (MN). UMNO dinasihatkan supaya tidak sepatutnya mengulangi krisis dalaman dan mengambil iktibar daripada kes-kes sebelum ini seperti pemecatan pimpinan tertinggi parti, pergelutan dalaman sendiri, penentangan daripada pimpinan politik sendiri dan lain-lain sejak penubuhannya pada 1946.
Apa yang membimbangkan, jika elit politik dalam pimpinan parti menggunakan kuasa yang mutlak memecat mana-mana pimpinan politik yang tidak sehaluan dengan keputusan parti tanpa mengambil kira isu-isu terkini dan permaslahatan secara teliti. Apatah lagi jika asas untuk membuat pemecatan begini kini sudah boleh dipersoalkan berasaskan perkembangan terbaru.
Antara isu besar yang timbul sekarang, apakah keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos lalu mengarahkan ahli-ahli Parlimennya keluar daripada kerajaan PN dan mengundi tidak percaya kepada Muhyiddin masih ada nilainya setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan penangguhan pemilihan UMNO selepas 30 Jun lalu tidak sah?
Berdasarkan keterangan Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim, keputusan itu tidak lagi mengikat maka ahli-ahli Parlimen UMNO boleh sahaja mengundi percaya kepada Muhyiddin tanpa takut dikenakan apa-apa tindakan oleh parti kerana kuasa Presiden dan MKT UMNO yang ada hanya kuasa administratif.
Mengekalkan kerajaan PN adalah jauh lebih besar manfaatnya berbanding menjatuhkan kerajaan PN yang tidak akan memberi banyak untung kepada UMNO malah akan memberi kerugian besar kepada UMNO. Ini kerana dalam kerajaan PN, UMNO berpengaruh besar tetapi jika kerajaan PN jatuh, mereka akan hilang hampir semua kelebihan yang ada dan menjadi sebuah parti di pinggiran, sama ada jika kerajaan baharu ditubuh atau jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dipanggil.
Sebab itulah UMNO sepatutnya lebih matang dan profesional serta mengambil iktibar daripada kekalahan yang berlaku pada PRU-14. Sejarah tersebut sepatutnya dijadikan pengajaran untuk menimbang semula tindakan dengan situasi politik dan kematangan rakyat pada era ini. Kejayaan UMNO pada masa akan datang perlu mengambil kira isu-isu integriti, personaliti dan individu tertentu yang sekarang pun hangat diperkatakan.
PROFESIONAL
Rakyat telah matang dan anak-anak muda boleh menilai kepemimpinan terbaik sekarang jika pimpinan politik masih tidak berubah dengan cara lama. Amat dikesali bila sebahagian daripada pimpinan UMNO ingin menjadi hero dalam politik tanah air untuk mengekalkan status kekuasaan, pengaruh dan kepentingan peribadi walaupun ia boleh dibincangkan secara muafakat dalam gabungan PN yang terdiri daripada pimpinan politik UMNO itu sendiri.
UMNO sepatutnya memberi ruang dan pandangan yang baik kepada wakil menteri yang dilantik dalam kerajaan PN untuk membuktikan ahli Parlimen UMNO mempunyai wawasan, berjiwa besar, bersikap profesional dan berprinsip yang jelas dalam membantu negara dan rakyat di kala diuji dengan pandemik Covid-19.
Adalah dinasihatkan politik berteraskan kepentingan dengan menutup ruang bicara dan pandangan akan menjadikan bangsa Melayu yang dimonopoli UMNO selama ini dikhuatiri terus berpecah kerana kekhilafan politik yang tiada kesudahan. Dalam mendepani isu semasa, UMNO perlu bekerjasama dan bersatu demi kemaslahatan rakyat dan negara yang berdepan dengan situasi Covid-19.
Tindakan menjatuhkan PN adalah langkah tidak matang dan rugi kepada bangsa dan negara sendiri. UMNO sepatutnya memberikan kepercayaan kepada pimpinan politiknya dalam gabungan PN untuk menerajui negara di samping menyalurkan idea-idea yang bernas melalui saluran yang betul bagi mengelakkan konflik demi negara tercinta.
Lagi pula, seandainya Muhyiddin jatuh dalam undi tidak percaya di Parlimen, apakah manfaatnya kepada UMNO?
Dijangkakan jika ini berlaku maka pilihan terbaik yang perlu dibuat ialah untuk membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali kepada rakyat membuat pilihan muktamad siapa yang mereka mahukan bagi memimpin mereka. Jika dilantik kerajaan baharu pun, ketidakstabilan ekoran usaha mahu jatuh-menjatuhkan pemimpin akan tetap berlaku.
Jika Parlimen dipohon untuk dibubarkan, menjadi jangkaan rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong bagi memperlihatkan sikap neutral dan payung rakyat, Seri Paduka akan memperkenankannya bagi membolehkan PRU-15 dalam prosedur operasi standard (SOP) ketat dilangsungkan sebaik sahaja imuniti kelompok sudah berjaya dicapai Oktober ini.
Dalam keadaan sekarang dengan sentimen umum jelas tidak memihak kepada pemimpin UMNO yang dilihat laparkan kuasa, besar kemungkinan UMNO yang berpecah-belah akan mengalami kekalahan teruk. Mungkin kekalahan mutlak beginilah yang diperlukan untuk menyedarkan UMNO.
Bila itu berlaku, ahli-ahli UMNO tiada siapa untuk dituding melainkan Presiden, MKT dan ahli-ahli Parlimen UMNO yang terlibat menjatuhkan kerajaan PN sekali gus menguburkan parti itu sendiri.
DR. Hussain Yusri Zawawi ialah Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).










