'Si mata biru' jadi tumpuan - Utusan Malaysia

‘Si mata biru’ jadi tumpuan

UMI Aqilah Ahmad Zailani dan Mohamad Safwan yang tinggal di Kampung Chenerai, Baling, Kedah memiliki mata berwarna biru yang cantik. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Dua beradik menjadi perhatian ramai sejak dari kecil kerana memiliki sepasang mata berwarna biru yang cantik seperti memakai kanta lekap.

Umi Aqilah Ahmad Zailani, 18, dan adiknya, Mohamad Safwan, 12, mewarisi keistimewaan itu daripada bapa mereka, seorang lelaki tempatan, Ahmad Zailani Dolah, 51.

Menurut Mohamad Safwan, orang ramai sering memperhatikan matanya sekiranya dia keluar ke kedai dan bandar.

“Mata saya dan kakak jadi perhatian orang ramai sehingga ada yang meminta untuk bergambar. Kami tidak tolak dan biasanya akan bergambar dengan mereka.

“Saya sudah biasa dengan keadaan tersebut sejak kecil lagi yang mana ibu dan bapa sering nasihat supaya sentiasa merendah diri dan baik dengan semua orang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenerai, Mukim Siong di sini di sini semalam.

Katanya, dia bersyukur kerana dianugerahkan anak mata berwarna biru yang unik diwarisi daripada bapanya.

“Saya juga gembira kerana semua kawan di sekolah dan kampung ini serta guru sangat baik dan tidak pernah membezakan kami dengan orang lain,” ujarnya.

Ibu mereka, Eshah Md. Hassan, 44, berkata, hanya anak kelima dan keenam iaitu Umi Aqilah dan Mohamad Safwan dilahirkan dengan sepasang mata berwarna biru.

“Dua beradik ini mewarisi mata suami saya yang juga memiliki sepasang mata berwarna biru sejak dilahirkan, manakala empat lagi anak kami mempunyai warna mata normal seperti kebanyakan orang.

“Mereka sentiasa menjadi perhatian orang ramai sekiranya berjalan ke bandar dan saya pernah ditegur seorang peniaga kerana memakaikan anak yang masih kecil dengan kanta lekap kerana ia boleh merosakkan mata,” katanya.

Menurutnya, dua beradik itu tidak mempunyai sebarang masalah penglihatan dan mereka dapat melihat serta membaca seperti biasa.

“Cuma, Umi Aqilah mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan dan kini belajar di Sekolah Menengah Sungai Layar (Pendidikan Khas) manakala Mohamad Safwan tiada sebarang masalah kesihatan dan belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Bandar,” ujarnya.

Tambahnya, warna anak mata suaminya sama seperti Mohamad Safwan berbanding Umi Aqilah yang nampak lebih jernih warna birunya.

Sementara itu, ibu Ahmad Zailani, Siti Aishah Ismail, 75, pula memberitahu, Ahmad Zailani merupakan anak kedua daripada empat beradik dan hanya dia seorang sahaja bermata biru.

“Ahmad Zailani dan dua anaknya itu mendapat mata biru berkemungkinan daripada keturunan moyangnya iaitu nenek saya dan nenek saudara saya yang juga bermata biru tetapi mata mereka tidak sejernih atau biru seperti anak dan dua cucu saya ini.

“Mata saya dan ibu saya juga ada sedikit warna biru tetapi tidak ketara seperti anak dan dua cucu saya itu,” ujarnya yang mempunyai 14 orang cucu dengan dua orang sahaja yang bermata biru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×