Isu air sungai, tasik dan kolam mungkin sudah biasa kita dengar tercemar dengan pelbagai bahan kimia, tetapi apakah penyelesaian? Ini yang cuba dilakukan oleh penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Nahrul Hayawin Zainal.
Beliau menjalankan penyelidikan bertajuk ‘Karbon teraktif tempurung sawit untuk rawatan sisa air’.
Beliau yang juga pakar bioteknologi industri dan teknologi alam sekitar daripada Unit Teknologi Biojisim, Bahagian Kejuruteraan dan Pemprosesan MPOB mula menjalankan penyelidikan pada 2019 dan siap tahun ini.
Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, kajian penghasilan arang dan arang teraktif telah dijalankan pada tahun 2014 bersama-sama penyelidik MPOB.

Kajian diketengahkan lagi ketika menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2015.
“Pada peringkat pengajian, kajian berkaitan teknologi penghasilan arang teraktif yang mesra alam (tanpa penggunaan bahan kimia ketika pemprosesan) secara bersepadu (dua dalam satu) diperkenalkan dan berjaya di patenkan.
“Selepas tamat pengajian pada tahun 2018, kajian diteruskan dengan mengaplikasikan arang teraktif untuk rawatan air bagi sisa efluen sawit (palm oil mill effluent) atau POME dan teknologi ini juga telah dipatenkan, “ ujarnya.
Beliau berkata, arang teraktif yang dihasilkan daripada biojisim sawit ini sangat berpotensi tinggi untuk pelbagai aplikasi. Ia mudah diperoleh dan dihasilkan, selain harganya yang murah.
Kajian secara loji rintis menunjukkan keberkesanan arang teraktif dalam merawat sisa efluen sawit.
Pembinaan sistem rawatan efluen ini secara skala komersial terhadap industri sawit adalah keutamaan. Ia diharap dapat diaplikasikan kepada industri-industri lain selain industri sawit dalam merawat sisa air kumbahan.
Menurutnya lagi, pelbagai kaedah dan teknologi rawatan boleh dipertimbangkan untuk memenuhi had piawai yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Banyak kajian mendapati proses penjerapan menggunakan karbon teraktif yang dihasilkan daripada sisa biojisim yang diperbaharui menunjukkan keupayaan penjerapan yang paling berkesan untuk rawatan POME.
“Ini kerana keberkesanannya menyerap warna dan mengurangkan kepekatan bahan pencemar dari air sisa. Walau bagaimanapun, penggunaan karbon teraktif sahaja tanpa sistem penggabungan secara relatifnya memerlukan kos pelaburan bahan karbon teraktif yang tinggi dan jumlah karbon teraktif yang tinggi diperlukan untuk menjadikan proses tersebut berfungsi.
“Oleh itu, pembangunan sistem ini lebih murah, berkesan, dengan menggabungkan sistem karbon teraktif dengan sistem tertiari yang sedia. Ini akan mengurangkan kos dan penggunaan karbon teraktif pada skala industri,” katanya.
Dr. Nahrul Hayawin berkata, kaedah rawatan konvensional yang digunakan secara meluas bagi merawat POME adalah menggunakan sistem kolam terbuka. Walaupun sistem ini dapat mencapai tahap piawai, ia memerlukan ruang yang luas dan waktu perawatan yang lama.
Teknologi lain yang tersedia adalah ultrapenapisan, pembekuan, sistem membran, dan penjerapan. Teknologi ini mampu memenuhi keperluan piawai namun sistem ini perlu diperbaiki supaya dapat dilaksanakan untuk kegunaan industri.
Projek ini dibiayai oleh MPOB dan sebahagian kos dibiayai oleh geran di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Mengenai kos yang diperlukan, beliau berkata, harga arang teraktif secara borong boleh diperoleh antara RM6 hingga RM7/kg.
Manakala untuk pembinaan sistem rawatan efluen ini, ia bergantung kepada kapasiti sisa yang dihasilkan oleh kilang sawit.
Bagi sistem berkapasiti 5 meter padu/sejam, jumlah kos yang diperlukan adalah RM80, 000 manakala bagi sistem berkapasiti 50 meter padu/sejam jumlah kos dianggarkan RM400,000.
Beliau juga menarik perhatian bahawa di beberapa negara membangun, sekitar 70 peratus efluen industri dibuang ke dalam air tanpa rawatan. Malangnya, peraturan di negara-negara tersebut tidak dikuatkuasakan dengan tegas.

Oleh itu, perhatian diperlukan untuk membendung bahan cemar ini dengan merawat sumber efluen sebelum pembuangan dan juga pelaksanaan peraturan yang ketat.
Didapati, arang teraktif digunakan secara meluas bagi rawatan sisa air kumbahan di beberapa negara termasuk Jepun, Korea, China dan beberapa lagi negara membangun.
“Dianggarkan, permintaan terhadap arang teraktif berasaskan sumber biojisim semakin meningkat setiap tahun, dengan harga jualan sekitar RM8,000 hingga RM10,000/tan.
“Banyak kajian telah dilakukan dan telah diterbitkan, dengan artikel yang diterbitkan melebihi 200 di dalam jurnal-jurnal secara global berkenaan teknologi rawatan air dengan menggunakan karbon teraktif daripada pelbagai sumber biojisim,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap dengan adanya teknologi tersebut, teknologi penghasilan arang teraktif dan juga teknologi sistem rawatan sisa efluen dapat diambil dan diterima pakai oleh pelbagai sektor industri untuk mencapai kelestarian terhadap alam sekitar.
Kejayaan MPOB bangunkan teknologi alam sekitar
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi itu tersebut adalah penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (rawatan tertiari) sebelum dilepaskan ke persekitaran.
Beliau berkata, teknologi untuk merawat POME adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia yang digunakan semasa proses rawatan.
Pengaktifan secara stim digunakan bagi penghasilan karbon teraktif, dan mikrob yang berkesan digunakan ketika proses biologi semasa rawatan tertiari.

Pembuangan akhir POME yang dirawat dapat digunakan sebagai air kitar semula, dan karbon teraktif yang telah digunakan boleh dijadikan sebagai baja organik untuk tanaman sayur-sayuran.
Kajian mendapati baja organik ini kaya dengan unsur-unsur nitrogen, fosforus, dan kalium hasil dari penjerapan sisa akhir efluen POME.
“Teknologi ini sangat lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada teknologi ini, MPOB telah membangunkan sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu untuk menghasilkan karbon teraktif secara lestari tunggal, berbanding pembakaran dan pengaktifan secara berasingan dalam sistem konvensional.
Teknologi secara dua-dalam-satu ini lebih mudah digunakan berbanding sistem pembakaran secara konvensional.
Menurut Dr. Ahmad Parveez, proses pembakaran secara dua-dalam-satu ini juga dapat mengurangkan kos pengeluaran, tenaga dan masa tanpa menjejaskan hasil dan kualiti karbon teraktif yang dihasilkan. Sekali gus menghindari penggunaan bahan kimia ketika proses pengaktifan.
“Sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu ini dapat diguna pakai oleh sektor pengilangan sawit dan menyedia peluang perniagaan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).
“Oleh kerana biojiisim tempurung kelapa sawit dihasilkan dengan banyak di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini adalah rendah jika dihasilkan oleh kilang sawit.
“Prototaip teknologi ini telah diuji di lapangan dan terbukti berkesan,” katanya.











