UMNO Tangga Batu mahu DUN Klebang - Utusan Malaysia

UMNO Tangga Batu mahu DUN Klebang

MOHAMAD ALI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: UMNO Bahagian Tangga Batu mahu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang ditandingi oleh calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, jawatankuasa bahagian telah membuat ketetapan untuk tidak memberi laluan kepada calon MCA bertanding di situ.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan jumlah pengundi Melayu di DUN Klebang sudah menjangkau 65 peratus.

“Sudah sampai masa­nya calon daripada UMNO bertanding di DUN Klebang. Kalau diberikan juga kepada MCA pada PRU-15 nanti, saya yakin mereka akan kalah se­perti dalam PRU-14.

“Saya juga ingin menegaskan, jika calon MCA diletakkan di DUN Klebang, saya dan seluruh jentera parti tidak akan memberikan sokongan kepada mereka.

“Ini adalah ketegasan kita dan tidak lagi akan memberi kerjasama kepada calon MCA jika mereka terus berdegil ingin bertanding di sini,” kata­nya ketika ditemui.

Pada PRU-14, calon MCA, Datuk Lim Ban Hong memperoleh 6,859 undi tewas kepada calon PKR, Gue Teck yang mendapat 7,648 undi.

Mohamad Ali menambah, sepanjang tempoh tiga penggal MCA bertanding, jentera kempen banyak menggunakan tenaga UMNO.

MCA katanya, tidak ba­nyak berperanan kerana hanya mempunyai satu cawangan di situ, berbanding UMNO de­ngan 14 cawangan.

“Pemimpin MCA tidak setia dalam kemelut yang berlaku sekarang apabila mereka tidak mengikuti keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).

“Kerana itu UMNO bahagian membuat keputusan untuk menolak sebarang kerjasama bersama MCA khususnya menjelang PRU-15 nanti. Jika MCA bertanding, UMNO juga akan meletakkan calon,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×