PETALING JAYA: PKR tidak berdepan dengan isu pemilihan parti kerana keputusan penangguhan dibuat berbulan-bulan lebih awal sebelum tempoh penggal ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berakhir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan penangguhan selama 18 bulan telah dibuat oleh MPP pada 28 Februari lalu dan dipersetujui di Kongres Nasional PKR pada 20 Jun lalu.
Namun katanya, MPP PKR bagi penggal 2018 hingga 2021 hanya akan berakhir pada 18 November ini.
“Jadi saya akan menulis pemakluman kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sama ada hujung bulan ini atau awal bulan depan, jadi banyak masa lagi.
“Kami hanya perlu membuat pemakluman dan bukannya perlu kelulusan daripada RoS sebab parti politik hanya perlu mematuhi perlembagaan parti dan RoS pula hanya perlu memastikan perlembagaan parti dipatuhi,” katanya.
Justeru beliau berpendapat, RoS seharusnya mendapatkan penjelasan daripada UMNO terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
“RoS sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada UMNO dahulu, ini dia keluarkan kenyataan kata tidak ikut perlembagaan parti tetapi apabila UMNO keluarkan kronologi, dia yang terkedu.
“UMNO bukannya parti baharu, mereka parti berpengalaman. PKR juga mengambil contoh daripada UMNO dalam soal penangguhan pemilihan, kami masukkan fasal yang membolehkan penangguhan pemilihan dan kita menerima pakainya,” katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga mengesahkan partinya tidak berdepan isu pemilihan kerana RoS sudah pun meluluskan penangguhan tersebut namun berharap jabatan kerajaan itu tidak dijadikan sebagai alat politik.
“Kita tidak mahu melihat RoS dijadikan sebagai senjata politik, ikutlah peraturan sedia ada. Sebab itu pendirian DAP ketika ini tidak berubah, kami akan sokong undi tidak percaya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mahu membuat persiapan untuk pemilihan parti tidak lama lagi tetapi menggesa RoS memberikan panduan yang jelas supaya semua parti boleh melakukan perancangan sebelum mengadakan pemilihan. – UTUSAN










