PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan dicadangkan tidak meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka bulan depan kerana dikhuatiri sesi yang cuma berbaki kira-kira dua bulan tahun ini akan mencetuskan kluster pendidikan yang banyak.
Sesi pembelajaran secara fizikal sangat berisiko mewujudkan kluster baharu selain membebankan ibu bapa yang perlu membeli kelengkapan sekolah dan pengangkutan untuk tempoh yang singkat iaitu kira-kira lapan minggu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, seandainya sesi persekolahan diteruskan, kluster pendidikan dijangka terus berlaku dan ini dilihat memberi implikasi terhadap usaha mengurangkan penularan Covid-19.
Berita berkaitan:
“Tidak perlu ambil risiko buka sekolah kerana sukar untuk kawal pelajar terutama di peringkat sekolah rendah.
“Selain itu, jika dilihat pada takwim persekolahan untuk tahun ini, ia hanya berbaki lebih kurang lapan minggu. Jadi adakah berbaloi dengan risiko yang diambil dengan sesi persekolahan lebih kurang dua bulan sahaja?
“Tambahan pula dengan sesi yang akan dibuka nanti, ia akan membebankan ibu bapa untuk membeli pakaian dan peralatan persekolahan baharu hanya untuk tempoh yang sekejap.” kata beliau semalam.
Menurut beliau, kementerian disaran menunggu sehingga negara mencapai imuniti kelompok dan dalam masa yang sama kes penularan Covid-19 turut menurun.
“ Risiko jangkitan Covid-19 bukan hanya membabitkan pelajar tetapi ibu bapa juga turut terdedah.
“Justeru, dalam keadaan sekarang imuniti kelompok sangat penting. Masa terbaik adalah tahun depan buka sekolah termasuk untuk pelajar yang mengambil peperiksaan,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Anuar memberitahu, isu utama sekarang membabitkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melibatkan masalah liputan internet terutama membabitkan pelajar di kawasan pedalaman sekiranya sesi bersemuka ditangguhkan.
Sebelum ini, kementerian mengumumkan sesi persekolahan secara fizikal dijadual dibuka secara berperingkat mulai 1 September ini.
Ketetapan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian.
Sementara itu, bagi tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, beliau yakin ketetapan Kementerian Pendidikan untuk mengadakan sesi PdP secara bersemuka telah mendapat pandangan semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
“ Namun, jika kes naik dalam beberapa hari ini mungkin Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan nasihat MKN dan Kementerian Kesihatan sama ada wajar diteruskan atau tidak sesi persekolahan bersemuka,” kata beliau.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pembukaan sesi persekolahan wajar dibuat dengan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan terperinci terutama membabitkan SOP pengambilan serta penghantaran pelajar.
“SOP tersebut juga perlu merangkumi aktiviti di sekolah di dalam dan luar bandar, waktu rehat, sesi persekolahan serta perkhidmatan bas sekolah,” kata beliau.
Selain itu, beliau mencadangkan, semua pelajar yang bakal ke sekolah semula di zon merah perlu melakukan ujian saringan RTK bagi mengelakkan tercetus kluster sekolah tertentu.
“ Pelan kontingensi juga kena dibincang dan diputuskan jawatankuasa berkenaan sekiranya sesuatu perkara berlaku di luar jangkaan sewaktu sesi persekolahan bermula termasuk berhubung pelaksanan ujian saringan RTK.
“Ramai ibu bapa takut dan masih tertanya-tanya apakah garis panduan yang akan diguna pakai nanti. Bagaimana dengan ujian RTK? Siapa bertanggungjawab dan adakah semua yang terlibat? Itu semua perlu dibincangkan jawatankuasa berkenaan.
“ Kita tidak mahu apabila sekolah bermula, ada terpinga-pinga sehingga langgar SOP dan muncul kluster baharu pula,” jelas beliau.
Sementara itu, Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pembukaan sesi persekolahan perlu dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan diberikan di sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid selain sekolah yang berada di kawasan hijau.
“Kaedah penggiliran murid ke sekolah perlu dilakukan dengan mengikut keutamaan murid. Murid-murid prasekolah dan tahap satu perlu diberikan keutamaan bagi menangani isu penguasaan menulis, membaca dan mengira (3M).
“Malah kuasa autonomi kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu diberikan dalam menentukan apa yang terbaik untuk sekolah dari sudut pembukaan dan pelaksanaan pengajaran,” jelasnya.
Sebagai rekod, Gabungan Pendidikan Global UNESCO melaporkan sekolah di Malaysia sudah ditutup selama 41 minggu setakat ini, iaitu lebih lama berbanding negara jiran seperti Singapura (14), Vietnam (19) dan Timor-Leste (11).
Penutupan sekolah-sekolah di negara ini dikaitkan dengan masalah angka jangkitan harian Covid-19 yang masih tinggi dengan semalam direkodkan sebanyak 19, 991 kes selepas merekodkan penurunan memberansangkan pada Isnin (17,236) dan Ahad (18,688).- UTUSAN











