Lebih kelonggaran - Utusan Malaysia

Lebih kelonggaran

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan lebih banyak kelonggaran kepada lapan negeri di bawah fasa 2 dan ke atas Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan syarat mereka lengkap dua dos vaksin.

Dalam perutusan khas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, lapan negeri yang akan menikmati kemudahan-kemudahan itu bermula esok ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah.

Katanya, tiga lagi ialah Sarawak, Perlis dan Labuan yang semuanya meliputi kira-kira 3.8 juta penduduk di negeri-negeri berkenaan yang telah lengkap dua dos vaksin.

Menurut Muhyiddin, kemudahan yang dibenarkan ialah rentas daerah dan makan di kedai tetapi perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya (SJR) dan pemilik kedai.

“Seseorang individu hanya diiktiraf sebagai individu lengkap vaksinasinya apabila penerima vaksin dua dos dan perlu melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua, manakala jenis vaksin satu dos pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

“Turut dibenarkan ialah aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (aktiviti luar) dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam.

“Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan homestay (inap desa) dan hotel,” katanya dalam perutusan yang siarkan secara langsung, semalam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menasihatkan orang ramai untuk dine-in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa terlalu lama.

Katanya, orang ramai hendaklah memilih premis yang mempunyai sistem pengudaraan baik dan terbuka kerana berisiko tinggi terdedah jangkitan apabila pelitup muka dibuka ketika makan dan semasa berbual dengan teman semeja.

Katanya, bagi pasangan yang ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak mematuhi SOP ketat.

“Aktiviti sukan dan riadah yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (perseorangan), badminton (perseorangan), golf, pemotoran dan seumpamanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang telah lengkap vaksinasi di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam PPN.

Katanya, kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan itu ialah pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk penduduk tetap (PR) dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Selain itu, kata beliau, pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing serta ibu bapa dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

Menurut beliau, aktiviti solat sahaja dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah dengan pihak pengurusan masjid dan surau perlu memastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai.

“Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat Selain Islam,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kemudahan sektor ekonomi akan diumum dalam waktu terdekat dan sedang dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau menjelaskan, segala kemudahan yang diberikan bukanlah bermakna boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti kemudahan dine-in dan aktiviti sukan terutamanya, kerana lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus Covid-19.

Justeru, beliau mengarahkan Menteri Dalam Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19, memastikan kementerian-kementerian dan agensi yang bertanggungjawab mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan yang diberikan.

“Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

“Kerajaan tidak teragak-agak menarik semula kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada individu vaksinasi lengkap sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko.

Ini termasuk, kata beliau, tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.

Perdana Menteri berkata, keputusan pemberian kemudahan itu semestinya memberi risiko peningkatan bilangan kes harian, namun, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara.

“Dalam pada kemudahan-kemudahan ini diberikan, kerajaan juga akan memastikan strategi tindakan kesihatan awam yang ketika ini berada di atas landasan tepat terus dilaksanakan sebaiknya terutama menerusi ujian saringan, pengesanan kontak rapat, langkah pengasingan, serta peningkatan keupayaan penjagaan kesihatan dan pilihan rawatan yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×