Kadar kemiskinan makin parah - Utusan Malaysia

Kadar kemiskinan makin parah

PENUTUPAN premis perniagaan untuk satu tempoh yang terlalu panjang bukan sahaja menyebabkan peniaga terkesan, malah pekerja mereka turut merasakan keperitan terutama jika dibuang kerja atau dipotong gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih ramai rakyat Malaysia jatuh ke dalam kategori miskin dan miskin tegar akibat pandemik Covid-19 tahun lalu, de­ngan bilangan isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 bertambah sebanyak 12.5 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan kajian ja­batan itu, bilangan isi rumah miskin pada 2020 meningkat kepada 638,800 daripada 405,400 orang tahun sebelumnya.

Katanya, kadar kemiskinan tegar pula me­ningkat kepada 78,000 daripada 27,200 isi rumah pada 2019. Kadar kemiskinan mutlak turut meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus tahun lalu.

“Kelantan mencatatkan peningkatan kemiskinan yang ketara dengan peningkatan sebanyak 8.8 peratus kepada 21.2 peratus daripada 12.4 peratus (2019), diikuti Terengganu kepada 12 peratus daripada 6.1 peratus (2019),” katanya dalam kenyataan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020, semalam.

Mohd. Uzir berkata, pendapatan purata isi rumah tahun lalu merosot 10.3 peratus kepada RM7,079 daripada RM7,901 pada 2019, kesan daripada pandemik Covid-19.

Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah turut turun sebanyak 11.3 peratus kepada RM5,209 daripada RM5,873 pada 2019.

Katanya, pandemik turut menyebabkan sebanyak 20 peratus kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada kumpulan B40, manakala 12.8 peratus kumpulan T20 beralih kepada M40.

Tambah Mohd. Uzir, secara keseluruhannya, penularan pandemik Covid-19 telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah di negara ini.

“Peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak adalah amat pen­ting dalam mengurangkan kesan pandemik ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi berpendapat, kadar kemiskinan negara akan menjadi lebih parah pada tahun ini akibat penutupan sektor-sektor ekonomi bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah membayangkan hampir separuh perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhaba (PKS) berisiko gagal menjelang Oktober ini jika mereka masih tidak dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, pada tahun lalu, sektor PKS dan mikro kerugian kira-kira RM40.7 billion, dengan sumbangan sektor tersebut kepada KDNK juga merosot tujuh peratus kepada RM512.8 billion berbanding RM553.5 billion pada 2019.

“Secara purata setiap syarikat kerugian RM35,000 pada tahun lalu. Oleh itu, jika separuh perniagaan mikro dan PKS jatuh bankrap pada Oktober ini, maka ramai lagi yang akan jatuh miskin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmed Razman berkata, turut menyumbang kepada kenaikan kadar kemiskinan itu ialah, purata gaji dan upah bulanan yang susut merangkumi segala aspek dan kategori termasuk dari segi jantina, bandar dan luar bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN