Tiada janji, lihatlah bukti - Utusan Malaysia

Tiada janji, lihatlah bukti

Najib Tun Razak (tengah) diiringi Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) melawat kilang kertas NextGreen Pulp & Paper Sdn. Bhd. di Pekan, Pahang pada 19 Jun 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih ingat projek kilang kertas RM100 juta di Paloh Hinai, Pekan, Pahang yang bakal menyediakan 3,000 pekerjaan kepada anak tempatan sepertimana diuar-uarkan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, pertengahan tahun lepas?

Perancangannya, kilang itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun atau pada pertengahan 2023. Tetapi hanya selepas setahun lebih, penyempurnaannya kini sudah pun lebih 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya lebih awal, bulan depan!

Umum tahu, Tiada janji, Lihat bukti ialah slogan kerajaan negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Cepatnya proses membangunkan kilang kertas ini dari jangkaan asal ialah antara manifestasi yang menepati slogan tersebut.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri. Dengan kerjasama erat jabatan-jabatan dan pihak berkuasa tempatan di bawahnya, projek ini berjalan lancar dan bakal siap lebih awal dari jadual,” kata Datuk Lim Thiam Huat kepada saya, baru-baru ini.

Bahawa projek ini hampir siap dan lebih awal dari dirancangkan, kata Datuk Mohd. Yusof Din adalah juga bukti apa yang diuar-uarkan semasa PRK DUN Chini mengenainya adalah real dan bukan publicity stunt semata-mata.

Thiam Huat ialah Pengarah Urusan manakala Mohd. Yusof ialah Ahli Lembaga Pengarah kilang tersebut, NextGreen Pulp & Paper Sdn. Bhd. (NGPP). Kilang berkenaan milik syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia, iaitu NextGreen Global Berhad (NGGB), juga merancang memajukan di kawasan sama berkeluasan 166 hektar, sebuah Taman Teknologi Hijau (GTP) bernilai RM2 bilion.

Dengan siapnya kilang kertas berkenaan, rancangan berikut ialah pembinaan kilang pengeluaran bahan makanan ternakan dengan jangkaan pengeluaran 30,000 tan metrik setahun.

Projek-projek lain masih berorientasikan hijau dan mesra rakyat akan menyusul sehinggalah siap GTP dalam tempoh lima tahun dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 orang.

Kilang NGPP ini sendiri menganjurkan penggunaan teknologi hijau dengan usaha menghasilkan kertas menggunakan tandan kosong buah kelapa sawit (EFB) yang boleh diperoleh secara mudah dari kilang-kilang kelapa sawit di daerah Pekan, malah dari mana sekalipun puncanya.

Ia dikatakan yang pertama di dunia menghasilkan dan menggunakan teknologi preconditioning refiner chemical-recycle bleached mechanised pulp (PRC-RBMP) ciptaan dan inovasi tersendiri.

Demi mengekalkan sifat eksklusif dan hak cipta, teknologi PRC-RBMP ini menurut Thiam Huat, telah dipatenkan bukan setakat di negara ini malah di negara-negara jiran Thailand, Indonesia dan sejauh China.

Menerusi teknologi ini, EFB dikumpul dari kilang-kilang kelapa sawit dan para peneroka Felda, kemudian diproses bagi menghasilkan bahan-bahan pulpa dan kertas untuk tujuan percetakan, kertas tisu dan pembungkusan.

KONVENSIONAL

Pada peringkat awal ini, kilang NGPP dijangka mampu mengeluarkan secara tahunan kira-kira 10,000 tan metrik kertas dan 5,000 tan kertas tisu untuk pasaran tempatan mahupun eksport.

Dengan teknologi PRC-RBMP, ia memungkinkan ketidakbergantungan lagi kepada kayu atau pokok bagi proses pengeluaran kertas secara konvensional. Oleh itu, ia dijangka dapat menyelamatkan penebangan sehingga 255 juta pokok setahun.

Prospek kejayaan dan masa depan kilang NGPP juga dijangka besar memandangkan industri pulpa dan kertas dunia dianggarkan bernilai AS$500 bilion setahun, bersamaan kira-kira RM2.146 trilion setahun!

Apatah pula, industri pulpa dan kertas dunia masih dikuasai oleh kilang-kilang dan pengeluar pulpa dan kertas konvensional berasaskan kayu yang memerlukan kerja-kerja penebangan pokok, maka ia tidak mesra alam.

Dalam lawatan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Wan Rosdy ke kilang ini pada 19 Jun 2020, kedua-duanya turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara NGPP dan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Satu lagi MoU turut ditandatangani dengan Kami Anak Felda (KAF) yang disaksikan oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah ketika lawatan mereka ke kilang itu pada 6 April 2021.

ANAK MUDA

Dengan penyertaan KPF dan KAF, ia dijangka menjadi daya utama dalam memastikan para peneroka Felda terutama di kawasan persekitaran khususnya dalam DUN Chini dapat menjual seterusnya menjamin bekalan EFB yang lancar dan berterusan ke kilang tersebut.

Ini tentunya memberi manfaat kepada para peneroka sendiri yang sebelum ini, EFB dianggap sisa buangan dan tidak lagi ada kegunaan melainkan ditinggal, dibakar atau dibuang tanpa apa-apa hasil pulangan.

Selain itu, kilang berkenaan turut memperkenalkan program perantis dan latihan industri dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan yang terletak berdekatan.

Sehingga kini, 20 pelatih IKBN yang juga anak muda tempatan diambil di bawah program Bootcamp IKBN-NGPP dan kesemuanya telah diserap sebagai pekerja tetap. Lagi 40 pelatih akan diambil dan dilatih di bawah program selepas ini manakala pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) seramai enam orang kini menjalani latihan industri.

Dengan segala perancangan kini terlaksana menurut jadual, adalah diharapkan kilang ini dapat beroperasi dengan lancar seterusnya membawa manfaat kepada aspek sosioekonomi terutamanya penduduk setempat dan persekitaran.

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×