Pembangkang sifatkan UMNO buat keputusan tepat - Utusan Malaysia

Pembangkang sifatkan UMNO buat keputusan tepat

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin politik menyifatkan keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai keputusan yang tepat.

Malah, mereka turut berpendapat sudah tiba masa untuk Perdana Menteri dan seluruh Kabinet berundur dan memberi jalan kepada pembentukan kerajaan baharu untuk memulihkan keadaan politik negara serta menguruskan pandemik Covid-19 dengan lebih teratur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman menyifatkan, tarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan sebagai satu kelegaan dan sudah tiba masa untuk berlaku peralihan kerajaan.

“Ini urusan ‘rumah tangga’ PN yang sudah gagal dan tidak mampu untuk diselesaikan lagi. Kalau benar kerajaan tidak gagal, kenapa UMNO menarik sokongan ?

“Siapa pun yang jadi kerajaan selepas ini, biarlah semua pucuk pimpinan parti melihat siapa yang layak dan sudah tentu agenda utama adalah keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi semalam.

Marzuki Yahya

Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya pula berkata, semua pihak mengharapkan apa sahaja keputusan selepas ini adalah untuk memastikan kedudukan negara, ekonomi, kesihatan rakyat dapat dipulihkan seperti sedia kala.

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap keputusan UMNO itu sebagai berita gembira kerana pandemik Covid-19 merupakan perkara paling utama untuk ditangani ketika ini

“Muhyiddin perlu meletakkan jawatan secara terhormat kerana keabsahannya sudah terbukti apabila gabungan parti yang menubuhkan PN termasuk ahli Parlimen membuat kenyataan yang jelas kepada Seri Paduka untuk menarik sokongan,” katanya.

Bagi Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, Seri Paduka tentunya akan bertindak mengikut peruntukan dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan berkenaan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

KHALID Abdul Samad

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad turut berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana menunaikan janji untuk menarik sokongan terhadap PN.

Beliau mencadangkan Pakatan Harapan (PH) memimpin kerajaan kerana gabungan itu memiliki majoriti yang boleh menerajui negara.

“Saya berharap Seri Paduka Baginda melucutkan jawatan Perdana Menteri dan membenarkan perbincangan diadakan untuk memilih kerajaan baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Howard Lee Chuan How berkata, terlalu awal untuk memberi maklum balas tentang keputusan UMNO kerana situasinya begitu dinamik ketika ini.

“Banyak perubahan yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Kita tunggu, lihat dan biarkan ia melalui proses sewajarnya dan ini harus diberi penghormatan kepada Istana Negara untuk mengesahkan apa yang berlaku,” katanya.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan ketika dihubungi pula enggan menjawab soalan pemberita berkenaan isu yang berlaku. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×