Itochu, Petronas jalan kajian kebolehlaksanaan bersama - Utusan Malaysia

Itochu, Petronas jalan kajian kebolehlaksanaan bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat perdagangan Jepun, Itochu bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama anak syarikat Petronas di Kanada sebagai langkah awal syarikat itu untuk memulakan pengeluaran amonia secara komersial di negara itu pada 2026.

Menurut laporan Nikkei Asia, usaha itu dijangka mewujudkan antara kemudahan pembuatan terbesar dunia untuk bahan api bersih.

Kilang bernilai AS$1.3 bilion (RM4.22 bilion) itu akan menghasilkan amonia dari gas asli yang diekstrak dari kawasan telaga gas yang dimiliki oleh unit Petronas, berpotensi menghasilkan sejuta tan amonia setahun.

Kajian kebolehlaksanaan tersebut turut disertai syarikat infrastruktur tempatan Kanada yang berkepakaran membina talian paip gas.

“Itochu merancang untuk menghantar bahan api tersebut ke Jepun, membantu membawa negara yang bergantung kepada arang itu selangkah lebih dekat kepada matlamat pengurangan pelepasan karbonnya.

“Amonia tidak menjana karbon dioksida apabila dibakar dan boleh dicampur dengan arang untuk mengurangkan pelepasan karbon di kilang jana kuasa bahan api fosil,” lapor Nikkei Asia.

Mengikut perancangan, kemudahan tersebut akan dibina di zon industri wilayah Alberta, Kanada pada 2023.

Itochu bersama syarikat infrastruktur Kanada akan bekerjasama untuk operasi kemudahan tersebut dengan Itochu akan mengendalikan kebanyakan urusan jualan dan rangkaian pengangkutan.

Menurut Nikkei Asia, amonia dari kilang baharu itu akan diangkut dari kawasan barat Kanada melalui jalan laut ke Jepun, sebahagian besarnya untuk dijual kepada syarikat tenaga selain syarikat yang menjana tenaga sendiri seperti pengeluar besi dan bahan kimia.

Beberapa juta tan amonia yang dicampur dengan arang pada nisbah 20:80 cukup untuk menjana kuasa untuk dua unit stesen kuasa 1 gigawatt selama setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×