Jadestone pelabur, pengendali huluan terkini sektor minyak, gas - Utusan Malaysia

Jadestone pelabur, pengendali huluan terkini sektor minyak, gas

PETRONAS menemukan hidrokarbon pertamanya dalam penggerudian telaga BTJB-T2 Bukit Tua Fasa-2B yang terletak di dalam Blok Ketapang, luar pesisir Jawa Timur, Indonesia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Jadestone Energy Ltd, anak syarikat Jadestone Energy plc (Jadestone) yang berpangkalan di Singapura telah menjadi pelabur huluan terkini di Malaysia menerusi pengambilalihan SapuraOMV Upstream (PM) Inc (SapuraOVM PM), anak syarikat SapuraOMV Upstream Sdn. Bhd. (SapuraOMV).

SapuraOMV PM mempunyai kepentingan penglibatan dalam menghasilkan aset yang terletak di luar Semenanjung Malaysia, iaitu Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) AAKBNLP, PM318, PM323 dan PM329. Syarikat itu adalah pengendali PSC PS32 dan PM329.

Jadestone disenaraikan di Pasar Pelaburan Alternatif (AIM) Bursa Saham London dan mempunyai pengalaman pengendalian di lapangan minyak dan gas di rantau Asia Pasifik.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, syarikat menyambut baik kedatangan Jadestone di sektor hulu Malaysia, sekali gus membuktikan negara tetap menarik kepada pelabur dengan pelbagai peluang pelaburan yang tersedia untuk memenuhi selera dan kemampuan mereka yang berbeza.

“Dengan meletakkan aset yang betul di tangan pemain yang tepat membuka potensi sepenuhnya, sehingga memaksimumkan pulangan bagi kedua-dua pelabur huluan dan Petronas sebagai penjaga sumber hidrokarbon di Malaysia.

“Kami percaya pengalaman dan kemahiran Jadestone dalam memanjangkan usia aset, digabungkan dengan fokusnya untuk meningkatkan pengeluaran pengoptimuman kos, akan meningkatkan margin sambil memanjangkan jangka hayat ekonomi di luar pesisir, menyumbang kepada kemampanan keseluruhan pengeluaran minyak dan gas untuk negara,” katanya dalam kenyataan.

SapuraOMV dan Jadestone sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Jual Beli Bersyarat (SPA) pada 30 April 2021.

Syarat-syarat perjanjian termasuk antara lain, persetujuan peraturan daripada Petronas yang diberikan pada 15 Julai lalu. Pengambilalihan itu telah selesai pada 1 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×