Buktikan sokongan 110 di Parlimen - Utusan Malaysia

Buktikan sokongan 110 di Parlimen

MUHAMMAD FATHI YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: 110 ahli Parlimen yang masih menyokong kerajaan perlu dibawa dan dibuktikan sokongannya di Parlimen bagi menjelaskan lagi kedudukan kerajaan kepada rakyat.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, dalam situasi mutakhir ini, kaedah untuk menentukan sama ada seseorang Perdana Menteri itu hilang sokongan atau sebaliknya adalah melalui pengundian di Parlimen.

Katanya, kaedah yang berlaku melalui kenyataan umum hanyalah sekadar gambaran yang belum disahkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia perlu dibuktikan di Parlimen sama ada melalui pihak kerajaan atau pembangkang.

“Itu kaedah terbaik supaya persoalan berkaitan dengan tahap keyakinan kerajaan itu dapat dirungkaikan dengan lebih jelas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen yang bersama-samanya.

Menurut Muhammad Fathi, sekiranya tiada jangkitan wabak Covid-19, negara sepatutnya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi membolehkan rakyat memberi mandat kepada satu kerajaan baharu yang lebih jelas sokongannya.

“Namun, cabaran yang dihadapi sekarang, banyak pihak mengakui bahawa tahap sokongan kepada kerajaan menjadi pertikaian manakala tidak ada seorang tokoh  di pihak pembangkang yang boleh mengaku beliau mendapat sokongan majoriti.

“Oleh itu, sekiranya diadakan undi percaya atau tidak percaya sekali pun, ia tidak dapat menyelesaikan masalah malah berkemungkinan menjadikan masalah itu semakin kusut.

“Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan dan tidak ada tokoh yang betul-betul mendapat sokongan majoriti serta sesuai dilantik menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Tambah beliau, keutamaan pada situasi masa kini adalah dengan memastikan usaha mengatasi wabak berjalan lancar yang syaratnya adalah kestabilan politik.

“Pendekatan yang terbaik sebenarnya adalah kerjasama di antara pihak kerajaan dan pembangkang untuk menghadapi wabak sekurang-kurangnya dalam tempoh enpat hingga enam bulan,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan Sosiobudaya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi pula berkata, kaedah untuk membuktikan atau menyatakan sokongan tidak wajar diumumkan hanya melalui akhbar dan media.

Katanya, kaedah terbaik dari segi demokrasi adalah dengan mengukuhkan dan menyatakan sokongan di Parlimen, maka barulah keabsahan dan jumlah majoriti itu dapat dinilai.

“Penyataan 110 ahli Parlimen yang menyokong perlu dibawa ke Parlimen dan dibuat usul undi percaya atau sebaliknya kepada Perdana Menteri,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×