PETALING JAYA: Tanggapan bahawa kluster sektor pembuatan atau kluster kilang merupakan punca utama jangkitan Covid-19 dalam masyarakat sebenarnya jauh tersasar.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menurut data Kementerian Kesihatan, kes penularan Covid-19 yang melibatkan sektor pembuatan hanya lima hingga 10 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.
Beliau menegaskan, pengesanan kluster adalah penting, namun yang lebih kritikal ialah jumlah mutlak kes yang mana kes sporadik dalam komuniti menyumbang kepada 70 peratus kes keseluruhan manakala hanya 30 peratus kes merupakan kes kluster, termasuk kluster sektor pembuatan.
“Penutupan kilang hanya akan memberi impak minimum kepada kawalan penularan Covid-19 tetapi impaknya sangat besar kepada pekerja yang kehilangan mata pencarian dan juga rantaian bekalan terutamanya bekalan asas,” katanya dalam ulasan isu semasa Laporan Laksana Ke-63 semalam.
Namun begitu, Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan tidak mengambil mudah langkah untuk mengurangkan kadar jangkitan di tempat kerja.
Kata beliau, kerajaan telah melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Covid-19 yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi, khususnya bagi golongan pekerja.
Melalui program itu, jelas beliau, kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin manakala pihak syarikat dan kilang memudah cara urusan logistik.
“Selain daripada Pikas, kerajaan telah mengumumkan inisiatif seperti Safe@Work dan insentif potongan cukai bagi ujian saringan.
“Kerajaan juga bersetuju memberikan potongan cukai atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh majikan.
“Selain itu, potongan cukai atas sumbangan Covid-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluas meliputi sumbangan kepada PPV,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, setakat 23 Julai, sejumlah 16,697 syarikat melibatkan lebih 1.2 juta pekerja telah berdaftar dengan Pikas dan daripada jumlah itu, 255,705 orang pekerja telah menerima dos pertama sementara 20,832 orang lagi telah menerima dos kedua. – UTUSAN










