‘5 tahun kami suarakan, dengarlah’ - Utusan Malaysia

‘5 tahun kami suarakan, dengarlah’

Seorang doktor kontrak menggantung plakad pada pakaian PPE yang dipakainya sebagai tanda menyokong perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak di Maeps Serdang Julai lalu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Kami mahu kerajaan dengarlah luahan hati dok­tor-doktor kontrak ini untuk memberikan jawatan tetap.”

Itu antara rayuan doktor kontrak yang melakukan solidariti aman di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) sebagai tanda sokongan kepada gerakan Hartal Doktor Kontrak di seluruh negara, semalam.

Menurut jurucakap doktor itu kepada Utusan Malaysia, tindakan tersebut bukanlah satu protes tetapi hanya menunjukkan kebersamaan tanpa mengganggu tugas menjaga dan merawat pesakit kerana kebanyakannya ha­dir pada hari tidak bertugas atau tamat waktu bekerja malam.

“Kami tidak mengabaikan pesakit sebaliknya datang ke dewan masing-masing bagi me­nunjukkan solidariti di hadapan pesakit termasuk hanya beberapa orang yang sedang bertugas melekatkan pos­ter di badan.

“Kita mahu meminta kerajaan dengar luahan hati doktor-doktor ini untuk memberi kami perjawatan tetap, bukan kontrak. Perkara ini dah lama, kita pernah bagi memorandum dalam masa lima tahun sejak 2016, tetapi seolah-olah tiada penghujung,” katanya di sini semalam.

Kira-kira 50 orang kumpulan pegawai perubatan yang ada antaranya lengkap memakai alat perlindungan diri (PPE) sambil memegang plakad, ‘Memberontak tapi utamakan pesakit’.

Mereka hanya mengambil masa kurang dari 15 minit untuk menunjukkan solidariti itu.

Kira-kira 20 hospital menyertai Gerakan Hartal Doktor Kontrak dengan pegawai-pegawai perubatan keluar beramai-ramai dari fasiliti kesihatan ma­sing-masing tepat pukul 11 pagi sebagai tanda bantahan kerana tuntutan mereka untuk diserap ke jawatan tetap tidak dipenuhi.

Di KANGAR, sekumpulan 50 doktor kontrak di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini berkumpul menuntut jaminan kerja tetap meskipun sedar me­reka berdepan tindakan tatatertib.

Mereka berkumpul secara aman sambil memegang plakad dalam tempoh kira-kira 15 minit.

Difahamkan kumpulan tersebut mewakili 500 ke 1,000 doktor kontrak di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

Wakil kumpulan doktor tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. H berkata, permintaan mereka adalah semua doktor kontrak diserapkan ke penjawatan tetap.

Katanya, ketika ini, hanya 789 doktor daripada 23,000 doktor kontrak dari hospital dan klinik kesihatan seluruh negara diserap ke jawatan tetap.

“Kenapa kami memerlukan penjawatan tetap dengan pertama yang penting untuk kami melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat master (sarjana). Kalau kita tengok balik, tawaran kemasukan program sarjana di Malaysia memerlukan kita dilantik sebagai pegawai tetap.

“Yang kedua, apabila jadi pegawai kontrak, banyak keistimewaan kami tidak dapat khususnya daripada soal gaji dan cuti,” katanya ketika ditemui di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×