SHAH ALAM: Jenazah warga asing yang meninggal dunia akibat Covid-19 menjadi punca berlaku ‘kesesakan’ di jabatan forensik hospital seluruh Selangor.
Ini kerana jenazah mereka tidak boleh diuruskan secara berpusat berikutan perlu mendapat pengesahan kedutaan masing-masing menyebabkan pengebumian terpaksa ditangguhkan sampai berminggu-minggu.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud yang berkata, kerjasama kedutaan penting untuk mengurangkan kesesakan di jabatan forensik.
“Isu yang timbul sekarang adalah jenazah warga asing, cuma saya tidak dapat sahkan berapa peratus. Itu masalah yang kita tidak boleh selesaikan dengan segera seperti jenazah yang melibatkan warga asing.
“Kalau bukan warganegara kita tak boleh uruskan terus pengebumiannya, kena dapat kebenaran kedutaan. Jadi, keadaan itu menyebabkan tempat seperti peti simpanan mayat tidak boleh dikosongkan. Secara amnya, itulah yang dijelaskan kepada kita dan kerajaan pun ambil maklum dan minta kedutaan untuk bekerjasama,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, jenazah warga asing tidak boleh diuruskan tanpa kebenaran dan pihak hospital perlu mematuhi prosedur ditetapkan untuk mengelakkan wujud pertikaian sekiranya sudah dikebumikan.
Terdahulu akhbar ini melaporkan video tular dalam media sosial mengenai kesesakan di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang memaparkan keadaan jenazah diletakkan bertindih dan ada di atas lantai berikutan kes kematian akibat Covid-19 yang meningkat.
Bagi mengatasi masalah itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan pengurusan jenazah secara berpusat bagi mengurangkan kesesakan bilik mayat dengan menjadikan Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini dan Selat Klang sebagai tempat mengebumikan jenazah mangsa Covid-19.
Dalam pada itu, Dr. Siti Mariah menasihatkan orang ramai supaya memastikan kesahihan video atau gambar berkaitan keadaan hospital sebelum kongsikan dalam media sosial kerana mendakwa masih terdapat hantaran lama terus ditularkan tanpa usul periksa. – UTUSAN










