Golongan asnaf, terjejas pendapatan boleh ambil bantuan di MTMAJ - Utusan Malaysia

Golongan asnaf, terjejas pendapatan boleh ambil bantuan di MTMAJ

SEBILANGAN petugas sedang melapah daging korban dengan mematuhi prosedur operasi standard di Masjid Tengku Mahkota Abdullah di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Golongan asnaf dan penduduk yang terjejas pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta datang ke Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) bandar Jerantut untuk mendapatkan barang keperluan dapur.

Imam Satu MTMAJ, Mohd. Fikri Hamzah berkata, Skuad Lajnah Cakna Masjid (SLCM) serta pegawai masjid bersedia membantu barang keperluan dapur dan peralatan kebersihan diri untuk diinfak kepada mereka yang memerlukan.

“Golongan asnaf dan penduduk yang memerlukan tidak perlu malu untuk hadir ke masjid ini dengan menghubungi petugas SLCM dan pegawai masjid dengan memaklumkan hal berkenaan.

“Kita mengambil peranan proaktif aspek kebajikan ahli kariah dan penduduk yang memerlukan selaras dengan hasrat untuk memasyarakatkan MTMAJ bukan sahaja sebagai tempat solat dan aktiviti keagamaan, malahan ruang lingkupnya berperanan menjaga kebajikan penduduk,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan sumbangan seberat sekilogram daging korban masing-masing kepada 344 golongan asnaf dan ahli kariah di pekarangan masjid tersebut.

Mohd. Fikri berkata, majlis korban anjuran MTMAJ diselenggarakan oleh 14 urus setia dan 28 petugas yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika kerja melapah dan mengagihkan daging daripada tujuh ekor ternakan yang disembelih di Rumah Sembelihan Ruminan Batu Satu, bandar Jerantut.

Katanya, berhubung dengan bantuan asnaf dan penduduk memerlukan, SLCM menerima sumbangan dana, barang keperluan dapur dan sebagainya daripada Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) Jerantut, wakil rakyat setempat dan para dermawan.

“Buat masa ini bantuan disumbangkan kepada asnaf dan penduduk yang terjejas cuma dilakukan di masjid ini kerana kita tidak dapat keluar menghantar ke rumah berkenaan memandangkan pematuhan penguatkuasaan PKP.

“Pengerusi taman perumahan bandar ini, kawasan pinggir dan ketua kampung berdekatan perlu membantu memberi maklumat penduduk yang memerlukan menerusi laman sosial Facebook MTMAJ atau menghubungi anggota skuad berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×