PETALING JAYA:Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional, JanaNiaga dijangka menyumbang RM4.8 bilion setahun kepada kecairan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan jangkaan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion yang disediakan EXIM Bank dan institusi kewangan lain untuk platform itu serta purata tempoh invois selama 90 hari.
Beliau berkata, JanaNiaga yang berterajukan pembiayaan invois daripada pembekal syarikat milik kerajaan (GLC) menerusi portal digital akan membolehkan pembekal-pembekal PKS menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus.
Permohonan pembiayaan juga, menurut beliau, dijalankan secara dalam talian bagi membolehkan setiap pembiayaan diluluskan dalam tempoh 24 jam.
“Pada peringkat awal ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia (TM).
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Petronas dan TM atas kesudian mereka bersama-sama menjayakan platform JanaNiaga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena pelancaran JanaNiaga yang diadakan secara maya semalam.
November lalu, kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan JanaNiaga bagi membantu kewangan PKS yang berurusan dalam pembekalan kepada kerajaan atau GLC.
EXIM Bank sebagai peneraju platform tersebut bersama beberapa institusi kewangan lain telah menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk menggerakkan JanaNiaga.
Tengku Zafrul menjelaskan, melalui JanaNiaga, bantuan kepada PKS akan diberikan melalui pinjaman daripada institusi-institusi kewangan negara.
“Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional seperti JanaNiaga memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar.
“Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan serta penggunaan teknologi baharu bagi mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya. – UTUSAN










