Penularan fahaman liberal: Majlis Agama Islam 'berpeluk tubuh'? - Utusan Malaysia

Penularan fahaman liberal: Majlis Agama Islam ‘berpeluk tubuh’?

ANTARA fahaman dan ideologi gerakan liberal disebarkan dalam media sosial yang didedahkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis agama Islam setiap negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa tidak ‘ber­peluk tubuh’ dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pega­ngan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, ini kerana hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati fahaman dan ideologi berkenaan termasuk Freemason kini sudah menjadi ancaman serius di negara ini yang disebarkan melalui Facebook, Twitter, YouTube, WhatsApp dan Tele­gram sebagai ‘alat propaganda song­sang’.

Lebih mengejutkan, ideologi li­beral itu dipercayai telah mula berkembang di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

“PDRM mengesan anasir ini bukan sahaja lantang mengeluarkan pandangan menerusi media sosial, bahkan mula menjadikan pengangkutan awam seperti perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) sebagai platform untuk menyebarkan fahaman dan ideologi liberal ini.

“Gerakan ini seolah-olah melakukan ‘dakwah jalanan’, padahal ia digerakkan secara agresif untuk tujuan ini.

“Ketika ini masing-masing di setiap jabatan ada bahagian perundangan sendiri termasuklah PDRM.

“Jadi, setiap majlis agama Islam negeri dan SKMM apabila pihak mereka melihat ada sahaja bahan-bahan yang berunsur fahaman liberal ini terpapar dalam laman sosial, segeralah bertindak menyekatnya. Jangan hanya ‘berpeluk tubuh’ sahaja, tunggu laporan orang ramai kepada pihak polis, kemudian baru bertindak…macam ‘makan gaji buta’,” kata sumber dalam pertemuan dengan akhbar ini semalam.

Menurut sumber itu, ideologi songsang sememangnya kian menular dalam masyarakat Islam negara ini dan tidak menghairankan munculnya golongan yang menuntut kesamarataan jantina, perkahwinan sesama jenis, menolak ulama selain menghalalkan perkahwinan orang Islam dengan penganut agama lain serta tuntutan kebebasan beragama.

Paling menjengkelkan ada kalangan mereka ini tanpa segan silu memaparkan gaya hidup songsang secara terang-terangan dalam media sosial sehingga ada yang sanggup bertindak menukar jantina mereka konon atas prinsip kebebasan individu.

Menurut sumber itu lagi, risikan PDRM turut mendapati kumpulan terbabit kerap mengadakan persidangan video (video conferencing) yang dilakukan secara sulit pada awal pagi bagi mengelak gerakan mereka dikesan.

“Difahamkan, mana-mana individu yang mahu menyertai perbincangan sulit tersebut akan diberikan kata laluan (khas) beberapa jam sebelum berlangsung.

“Anasir ini dipercayai bergerak dengan dibentengi kuasa dan sokongan dana besar daripada organisasi dan individu tertentu,” katanya.

Justeru, kata sumber itu, antara benteng untuk mengawal penularan kelompok berkenaan adalah dengan mendapatkan kerjasama serius daripada semua pihak terutama majlis dan jabatan agama Islam negeri serta SKMM.

“Kelihatannya sekarang adalah tiada tindakan tegas daripada agensi-agensi terlibat seperti apa sahaja berkaitan agama Islam tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Bayangkan sekiranya ada orang Islam melakukan tindakan serupa dengan menghina agama lain, tentunya pantas ada pihak ‘meroyan’ membela dan berkata minoriti ditindas oleh Melayu Islam.

Jadi, adakah agensi-agensi berkaitan bersedia untuk mempertahankan agama rasmi negara ini bersama-sama dari ditindas?” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×