Sepatutnya Caprice pertahan orang kita - Zed Zaidi - Utusan Malaysia

Sepatutnya Caprice pertahan orang kita – Zed Zaidi

EBIT Lew dan Caprice ketika bertemu di Gaza, Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi meluahkan rasa kesal terhadap tindakan penyanyi rap dan penceramah motivasi, Caprice yang tidak mempertahankan rakyat Malaysia daripada sebarang perspektif salah orang luar.

Menurut Zed, dalam konteks ini merujuk kepada semua tuduhannya kepada pendakwah bebas dan dermawan, Ustaz Ebit Lew (UEL) dalam usahanya mengikuti misi bantuan kepada penduduk Gaza di Palestin baru-baru ini.

“Saya setuju dengan pemergian dan usaha yang dilakukan oleh UEL ke sana. Tetapi apabila dia buat benda baik dan didapati ada pula orang di sana yang tidak suka, ia mungkin cuma segelintir. Itu jika menurut apa yang didakwa oleh Caprice menerusi fakta yang kononnya dia dapat.

“Tetapi, jika pandangan orang di sana begitu sekali pun, sepatutnya Caprice kenalah mainkan peranan untuk mempertahankan tindakan UEL dan menjelaskan yang baik kepada mereka.

“Saya tak nampak apa relevannya dia menyalahkan pula UEL sedangkan dia boleh saja menjelaskan dan memberi kefahaman cara UEL dalam menyampaikan sumbangan yang telah diamanahkan. Kenalah ada semangat kenegaraan dan sifat protektif terhadap orang kita sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Zed mengulas mengenai sengketa antara Caprice dan UEL yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu sehingga meraih pelbagai respons daripada masyarakat dan warga net.

Selain itu, Zed secara peribadi berpendapat, Caprice seorang individu yang bijak namun adakala orang yang bijak pandai juga tidak terkecuali melakukan kesilapan dan tergelincir daripada landasan asal.

“Mungkin kali ini dia sudah tergelincir. Bagi saya sayang sekali kerana dia telah membina kepercayaan ramai sebelum ini menerusi idea dan kata-katanya yang bernas. Tetapi, apabila dia bertindak membuat pelbagai tuduhan terhadap UEL dan misi bantuan tersebut, ramai yang melihat kelemahan Caprice.

“Saya percaya UEL melakukan semua itu bukan atas kepentingan diri. Dia pergi membawa amanah orang dan ambil gambar untuk tujuan rekod dan audit yang harus dibuat sekembalinya ke tanah air.

“Tentang orang politik, tentulah UEL perlu membina dan menjaga hubungan diplomatik antara dua buah negara sebab banyak aspek yang tak boleh dipandang ringan. Kenalah ikut setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, bukan main langgar apalagi melibatkan aspek keselamatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN