Afghanistan kembali diancam Taliban - Utusan Malaysia

Afghanistan kembali diancam Taliban

Taliban menguasai Afghanistan selepas pengunduran Kesatuan Soviet pada 1980-an. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Afghanistan terus menjadi faktor penentu keselamatan dan kestabilan geopolitik di Asia Tengah. Pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) secara mendadak menjelang ulang tahun ke-20 tragedi 11 September 2001 mencetuskan kegusaran kepada negara-negara jiran.

Pengunduran tentera itu mencipta satu vakum. Ini menjadi pemangkin kebangkitan semula pelampau Taliban yang sebelum ini hanya berpusat di selatan Afghanistan. Taliban pecahan daripada Mujahiddin yang mencapai kemenangan dalam perang Afghanistan-Kesatuan Soviet dekad 1980-an adalah kebimbangan baharu negara jiran pasca pengunduran tentera AS dan NATO.

Selepas pengunduran hampir semuanya tentera asing itu, Afghanistan sudah tidak lagi dinaungi kuasa besar yang mengekang Taliban membesarkan wilayah penguasaannya. Kini rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa konflik akan berterusan dan lebih buruk lagi menjadi medan perang saudara.

Perkembangan terbaru amat membimbangkan apabila Taliban mendakwa mereka telah menguasai Herat di wilayah barat Afghanistan termasuk dua kawasan di sempadan di Iran dan Turkmenistan. Ini menunjukkan Taliban telah meluaskan wilayah daripada penguasaannya sebelum ini di selatan Afghanistan.

Ini sangat menakutkan kerana Afghanistan boleh jatuh ke tangan Taliban tidak sampai tiga bulan selepas pengunduran tentera AS dan NATO dari negara itu. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan dakwaan pegawai Taliban di Moscow bahawa mereka sudah menguasai 85 peratus wilayah negara itu.

Bagaimanapun pegawai kerajaan Afghanistan menafikan dan menganggap itu hanya propaganda kumpulan pelampau berkenaan. Tetapi pihak tentera tidak menafikan Taliban menguasai separuh daripada 400 daerah dan berlaku pertempuran dengan tentera kerajaan.

Bagaimanapun, setakat ini Taliban masih belum berjaya menguasai kawasan bandar-bandar utama. Bagaimanapun ini bukan perkara kecil dalam isu konflik pasca AS di Afghanistan.

Baru-baru ini, Presiden Joe Biden menetapkan tarikh akhir pengunduran tentera AS dari Afghanistan pada 31 Ogos. Pengunduran secara besar-besaran telah bermula minggu lalu. Biden menganggap agenda memerangi Al Qaeda dan pemimpinnya, Osama Ben Laden oleh George Bush telah mencapai kejayaan.

Perkembangan yang berlaku di Afghanistan sangat membimbangkan India walaupun tidak bersempedan secara langsung dengan negara berkenaan.
Kemaraan Taliban pasti menyemarakkan pengaruh pelampau Kashmir yang sudah lama memberi ancaman keselamatan kepada India.

TENTERA PERSENDIRIRAN

Kashmir menjadi medan Taliban melatih pelampau-pelampau Kashmir sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada India. Ketegangan kedua-dua negara – India dan Pakistan pasti digunakan oleh Taliban untuk menggerakkan pelampau Kashmir menyeberang ke sempadan India.

Negara berjiran Afghanistan ialah Iran, Turkmenistan, Urbekistan, Kazakhtan, Tajikistan, China dan Pakistan. Semua negara ini berada dalam keadaan bersedia untuk berdepan dengan ancaman Taliban. Beberapa tahun sebelum ini malah hingga minggu-minggu terakhir tentera AS di Afghanistan, sudah tersebar spekulasi bahawa India mulai menyalur bantuan ketenteraan konvensional kepada Afghanistan. Ini dilihat sebagai langkah awal membendung kebangkitan Taliban selepas pengunduran tentera AS.

Menurut penganalisis, bantuan ini mungkin melibatkan pemindahan senjata, sokongan perisikan dan kontraktor tentera persendirian (PMCs). Tindakan ini dipercayai benar-benar berlaku kerana tidak melibatkan belanja yang besar dan mendatangkan risiko kecil kepada India.

Afghanistan diramal menjadi medan perang saudara yang berterusan apabila Taliban bangkit melawan kerajaan yang ditubuhkan di bawah naungan AS, walaupun ketika itu Taliban berjanji hanya bergerak di wilayah asalnya di selatan. Bagaimanapun, perjanjian itu telah berubah dengan sekelip mata apabila Afghanistan terlepas daripada naungan AS ekoran lanjutan pengunduran tentera AS seperti yang diarahkan oleh Biden.

Mengenai pengunduran tentera asing di Afghanistan, jurucakap Taliban berkata, “sama ada sehari atau sejam, pengunduran tentera AS dan NATO adalah suatu yang amat positif.” Ini membawa maksud dengan ketiadaan naungan kuasa besar, Taliban akan kembali berkuasa di Afghanistan.

Dalam perkembangan terkini, Iran, Turki, Pakistan dan Rusia telah mula menggerakkan rancangan mengisi vakum pasca tentera AS dengan menempatkan tentera di sempadan masing-masing. Ini dipercayai sebagai tindakan pre-emptive menghalang kemaraan Taliban.

Di Tehran, Menteri Luar, Javad Zarif telah bertemu dengan pengantara Taliban dan berbincang mengenai masa depan geopolitik Iran-Afghanistan sekali gus Taliban. Hasil pertemuan, Taliban berjanji tidak akan menjadikan orang awam sebagai sasaran selain sekolah, hospital dan masjid. Tetapi tidak berjanji untuk tidak meluaskan pengaruh sekali gus merampas kuasa kerajaan Afghanistan sekarang.

Taliban menguasai Afghanistan selepas pengunduran Kesatuan Soviet pada 1980-an hingga bermula pencerobohan AS pada 2001. Ketiadaan tentera AS menjadi faktor utama kumpulan pelampau itu kembali berkuasa. Hal ini bukan sahaja membimbangkan kerajaan Afghanistan malah negara jiran terutama India.

Afghanistan menjadi sasaran pertama AS dalam misi memerangi pelampau selepas tragedi 11 September 2001. Buktinya, tidak sampai sebulan dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan Pentagon diserang, AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan.

Kini pengunduran tentera AS dan NATO telah menaikkan reputasi Presiden Joe Biden di mata rakyat. Ini kerana majoriti rakyat tidak setuju dengan campur tangan AS di Afghanistan dan Iraq. Rakyat menganggap hal ini tidak ubah seperti campur tangan AS dalam konflik di Vietnam tahun 1970-an dan akhirnya mengalami kekalahan.

Masa yang sama bayangan perang saudara di Afghanistan semakin dekat. Negara jiran bersiap untuk berdepan dengan pelampau Taliban. India berada dalam keadaan lebih mencabar apabila berdepan dengan pelampau Kashmir dan Taliban dalam satu masa.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×