Utusan…setahun yang lalu - Utusan Malaysia

Utusan…setahun yang lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAHUN lalu 20 Julai 2020, akhbar Utusan Malaysia yang bangkit semula terbitannya – detik manis itu terungkap esok, Selasa 20 Julai 2021.
Terima kasih atas sokongan hebat para pembaca setia, pembaca baharu dan tentu sekali buat massa Melayu.

Kembali bersaing di pasaran terbuka dengan slogan berbeza, Pemikiran Baharu, akhbar berusia 54 tahun ini (1967) – yang sebenarnya lebih awal lagi, 82 tahun silam berakarkan Utusan Melayu, terbitan 29 Mei 1939 – tampil lebih segar meneruskan suara perjuangan dan kemanusiaan.

Setahun yang lalu, perjuangan Utusan terus bertalian erat dengan masyarakat. Menjalin hubungan langsung dengan massanya.

Bagi warga akhbar ini yang hari ini beroperasi dalam jumlah minimum kurang 60 orang, ganjaran paling berharga kami adalah keistimewaan yang terus diberi untuk berinteraksi dengan semua pihak – rakyat, kerajaan, parti politik, pasukan keselamatan, pertubuhan kebajikan, kesatuan sekerja, golongan petani, nelayan dan lain-lain lagi.

Dengan itu setiap hari berkhidmat untuk bangsa, agama dan tanah air.

JOURNALISM SEBENAR

Waima apa jua cabaran dan laluan berlikunya, Utusan akan terus hidup dan abadi selagi ia sentiasa sensitif kepada perubahan. Dan selagi mencerminkan suara rakyat – bukan menyiar berita atau rencana untuk menyenangkan hati golongan atau kumpulan tertentu. Akur, akhbar yang berpegang kepada perjuangan kewartawanan (journalism) sebenar tidak akan mati sampai bila-bila.

Bila mana WAN-IFRA’s World Press Trends memaparkan senarai 10 akhbar yang mencatat edaran harian tertinggi dunia tahun lepas (2020), serentak itu bermakna orang masih lagi gemar mempunyai cawan kopi pagi mereka dengan akhbar di tangan.

Diketuai akhbar harian Jepun, Yomiuri Shimbun, dengan purata edaran 9.101 (9 juta) naskhah sehari, jelas mengejutkan populariti laman web dalam talian yang kian meningkat.

Data itu seperti satu dorongan kilat kepada akhbar-akhbar tempatan ketika sering dimomokkan konon akhbar ‘sekadar memapar berita basi dan layak menjadi pembungkus nasi lemak.’

Lagipun, diuar-uarkan telah banyak akhbar yang terkesan akibat peningkatan kos kerana pandemik Covid-19 sehinggakan terpaksa ditutup tahun lepas. Antaranya Messenger di Adelaide, Australia; The Bunyip serta percetakan 60 ‘tajuk komuniti’ di New South Wales, Victoria, Queensland dan Australia Selatan yang digantung, seterusnya kandungan (content) diterbitkan dalam talian.

Akibat transformasi media cetak kepada digital juga menjadi mangsa – yang akibatnya banyak akhbar berpengaruh dunia terpaksa membuat pengubahsuaian termasuk aspek penjimatan. Antaranya juga, New York Times mengurangkan saiznya sebanyak lima peratus pada April 2008. Perubahan itu menjimatkan AS$42 juta setahun.

Majalah berita mingguan Newsweek pula ditamatkan versi cetak pada 2012 setelah wujud sejak 1933. USA Today turut melaksanakan pembuangan pekerja terbesar pada 2014 melibatkan kira-kira 70 kakitangan atau 50 peratus di dalam bilik berita.

Akhbar kewangan, Financial Times memberi akses percuma FT.com selama sebulan, sebelum pembaca dikenakan caj, sementara versi cetak terakhir akhbar The Independent UK pada 26 Mac 2016.

AMAL JARIAH

Dan di tanah air ini, surat khabar diyakini masih ada tempat dan ruang dalam negara berpendudukan majoritinya Melayu sekitar 69.3 peratus dari keseluruhan 32.75 juta orang.

Walau apa jua mahu dikatakan mengenai akhbar ini termasuklah oleh pihak yang bersaing, Utusan Malaysia akan terus mendukung pemikiran baharu. Terus menjadi lidah rakyat dan terus peka terhadap cita-cita, keresahan dan masalah masyarakat majmuk Malaysia, membela mereka yang lemah serta memastikan semak dan imbang dalam laporan-laporannya.

Utusan akan kekal Utusan. Utusan tidak akan berhenti menumpahkan amal jariahnya. Khidmat sosial Utusan akan terus mengalir seperti mana antara sumbangan kecilnya dalam setahun ini. Antaranya, tindakan betul Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tempoh hari menyelesaikan masalah capaian internet dihadapi murid berpandukan laporan akhbar ini.

Kalau tak silap saya, anak-anak dari Kampung Orang Asli Sungai Belankan Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor; Kampung Orang Asli Lakai Jelebu, Negeri Sembilan serta Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi, Johor menerima manfaat serta impak dari laporan Utusan ini – sekali gus di situ segera dinaik taraf menara komunikasi kepada 4G.

Setahun yang lalu dan tahun-tahun mendatang ini Utusan akan terus melebarkan sayapnya serta mengirimkan salam (laporan) kemanusiaan ke mana-mana selagi jantung Utusan terus berdegup.

Alhamdulillah, memanjatkan syukur ke hadrat-Nya, esok 20 Julai 2021 cukup setahun Utusan Malaysia bangkit semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×