KOTA TINGGI: Seorang pengusaha rumah rakit memancing di Johor Lama, di sini terpaksa menjual salah satu daripada lapan buah rumah rakit yang diusahakan keluarganya demi untuk kelangsungan hidup.
Airul Mahadi, 31, berkata, Rumah Rakit Haji Mahadi merupakan perniagaan keluarga sejak 21 tahun lalu yang diambil alih selepas bapanya meninggal dunia, namun bisnes itu kini berada dalam keadaan yang amat ‘tenat’.
Katanya, ketiadaan langsung hasil sejak beberapa bulan lalu menyebabkan dia kini tidak lagi mampu untuk membayar ansuran rumah dan kereta.
Jelasnya, sememangnya amat sayang untuk menjual salah sebuah rumah rakit tersebut namun dia tersepit kerana perlu memastikan keluarganya mempunyai makanan yang mencukupi.
Tambah Airul, untuk turun mencari hasil laut pula keadaan laut tidak menentu pada masa ini di samping kos ribuan ringgit yang perlu dikeluarkan untuk membaiki jaring yang sudah rosak.
“Bisnes sangat terjejas sebab pendapatan kami datang daripada pelanggan yang melibatkan aktiviti sosial yang tidak dibenarkan.
“Duit simpanan banyak habis untuk menanggung penyelenggaraan rakit jadi apabila sampai pada perbelanjaan harian sangat seksa tambahan pula kami tiada pendapatan selain daripada rumah rakit memancing ini.
“Walaupun ada tujuh buah rumah rakit tapi tidak ada langsung yang dapat dioperasikan dengan musim Covid-19 ini. Otak buntu tak tahu apa perlu buat selain menunggu sektor aktiviti sosial dibuka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Airul berkata, apa yang diharapkan mereka adalah kerajaan dapat mempertimbang untuk melonggarkan sektor sosial bagi memberi sedikit nafas buat pengusaha rakit memancing yang kian ‘nazak’.
Katanya, ramai antara pelanggannya tinggal berhampiran yang mahu membuat tempahan di rumah rakitnya, tetapi sebagai pengusaha dia tidak berani untuk mengambil risiko.
“Jika dapat longgarkan 50 peratus sudah cukup bermakna buat pengusaha rumah rakit. Tambahan pula sekarang musim angin selatan, rakit bergelora dan bergelombang.
“Rakit juga terjejas akibat angin kuat, ada atap tercabut dan kena baiki sedangkan duit sudah tiada untuk menanggung kos baik pulih,” katanya. – UTUSAN ONLINE










