KETIKA rakyat berdepan cabaran pandemik Covid-19 termasuk, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sentiasa mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Malah, baginda berulang kali menasihatkan para pemimpin agar menunjukkan kualiti kepemimpinan luar biasa dengan mencari penyelesaian komprehensif dalam menangani penularan pandemik Covid-19 di negeri itu.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin juga sentiasa mengingatkan seluruh rakyat mengenai kepentingan menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi memastikan kehidupan mereka kembali kepada asal.
Nasihat baginda, menjadi panduan rakyat dengan ramai yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sekali gus bakal merealisasikan sasaran mencapai imuniti kelompok 80 peratus dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, menyedari kesempitan rakyat khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19, baginda berkenan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan RM8.23 juta dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membantu golongan memerlukan di negeri tersebut.
Tuanku Syed Sirajuddin umpama payung yang menjadi tempat rakyat berteduh dan kasihnya rakyat terhadap Raja Perlis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Sikap pengasih dan keprihatinan baginda itu membuatkan rakyat berasa cukup bertuah mempunyai seorang raja yang berjiwa rakyat, malah baginda sentiasa memikirkan masalah rakyat khususnya ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19 ketika ini.
Selain itu, sebagai ketua agama negeri, baginda juga sering membuat keputusan yang tepat untuk kebaikan rakyat, antaranya Perlis menjadi negeri pertama yang tidak membenarkan aktiviti solat berjemaah di masjid ketika Covid-19 mula tercetus.
Ironinya selepas itu, Perlis menjadi antara negeri terawal bebas Covid-19 seterusnya umat Islam di negeri itu kembali bebas menunaikan solat berjemaah di masjid.
Berikutan pandemik Covid-19, baginda menitahkan segala program keramaian yang diaturkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-78 pada hari ini sebagaimana tahun lalu dibatalkan.
Keprihatinan baginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat sentiasa diteruskan oleh putera baginda, iaitu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Malah, antara cetusan idea paling ikonik Tuanku Syed Faizuddin dalam menyantuni rakyat adalah dengan berbasikal memasuki seluruh pelosok kampung di negeri itu.
Selain dapat memantau keadaan rakyat dengan lebih dekat di kampung-kampung, ia juga merupakan cara unik Raja Muda Perlis untuk menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada mereka yang memerlukan.
Ironinya, melalui kayuhan basikal itu, Tuanku Syed Faizuddin sendiri dapat menjejaki dan menyantuni asnaf di seluruh pelosok negeri seterusnya menyampaikan sumbangan.
Bagi rakyat Perlis, mereka sangat bertuah mempunyai seorang raja dan puteranya yang sentiasa ada bersama rakyat.
Sempena Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-78, saya mendoakan baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi Perlis di samping Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Daulat Tuanku!
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










