KANGAR: Pandemik Covid-19 yang sudah memasuki tahun kedua menyebabkan pasangan yang ingin berpoligami `mati kutu` kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pintu sempadan yang masih ditutup.
Malah pihak terlibat dengan pernikahan di Selatan Thailand yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia dari seluruh negara untuk bernikah di negara jiran, juga tidak membenarkan upacara nikah dijalankan secara dalam talian.
Keadaan itu turut menyebabkan ejen nikah Siam yang sebelum ini menguruskan pasangan termasuk kalangan artis, orang politik, ahli perniagaan dan orang biasa terjejas pendapatan mereka kerana ketiadaan `pelanggan’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Ruzaini Rais berkata, sejak Mac tahun lalu, negeri itu merekodkan sifar pasangan dari negara ini berkahwin di Thailand ekoran tiada pendaftaran direkodkan jabatan agama negeri.
Menurut beliau, jika sebelum ini rata-rata mereka yang terlibat memilih berkahwin di Thailand atas beberapa faktor seperti mahu berpoligami atau perkahwinan tidak mendapat restu keluarga.
“Sejak 2010 atau 11 tahun lalu, jumlah pasangan dari negara ini berkahwin di Thailand yang didaftarkan di Perlis ialah sebanyak 1,825 pasangan dengan purata kira-kira 182 pasangan pada setiap tahun.
“Susulan penutupan sempadan negara berikutan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu menyebabkan tidak ada sebarang kes perkahwinan pasangan dari Malaysia di Thailand,” kata beliau semasa dihubungi semalam.
Ruzaini memberitahu, faktor utama mereka memilih berkahwin di Thailand adalah disebabkan ingin berpoligami iaitu sebanyak 70 peratus manakala faktor lain pula atas halangan keluarga iaitu sebanyai 26 peratus.
“Sekarang sejak PKP, pintu sempadan ditutup sudah tidak ada kes-kes baharu pasangan Malaysia kahwin di Thailand. Selain itu, permohonan poligami di Perlis juga menunjukkan penurunan ketara sejak tempoh PKP,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau, perkahwinan secara dalam talian di Thailand adalah tidak dibenarkan di negara itu sebaliknya bagi perkahwinan ‘online’ di Perlis dibenarkan dengan sehingga kini direkodkan sebanyak 12 pasangan dari tempoh PKP pada Jun lalu sehingga kini.
“Perkahwinan ‘online’ itu dibenarkan dengan syarat perkahwinan tersebut berlangsung di depan penolong pendaftar (jurunikah) yang dilantik oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” katanya.
Sementara itu, ejen atau ‘orang tengah’ yang berperanan menguruskan perkahwinan di Thailand mendakwa mereka hilang sumber pendapatan lebih setahun lalu berikutan PKP dan penutupan pintu sempadan negara.
Menurut seorang ejen yang enggan mendedahkan namanya, sejak pelaksanaan PKP tahun lalu sehingga hari ini sudah tidak ada urusan perkahwinan rakyat Malaysia di Thailand menyebabkan dia terpaksa melakukan kerja-kerja kampung bagi mencari pendapatan lain.
“Dahulu jika dapat lima atau 10 pasangan setahun pendapatan sudah mencecah lebih RM50,000 atau lebih. Bayaran yang dikenakan terhadap pasangan adalah sekitar RM3,000 sehingga RM5,000 termasuk penginapan sepanjang beberapa hari di Thailand.
“Melihat situasi semasa, saya pun tidak tahu bila pintu sempadan akan kembali dibuka,” katanya yang berpengalaman hampir 10 tahun menguruskan perkahwinan di Thailand. – UTUSAN ONLINE










