PETALING JAYA: Cukup sekadar panggilan video tanpa perlu ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menilai tahap jangkitan wabak terhadap pesakit lebih-lebih lagi dengan jumlah kes yang semakin membimbangkan.
Itu antara cadangan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye yang menyifatkan tatacara pengendalian pesakit di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) boleh mencetuskan risiko jangkitan kepada orang lain terutama yang berdekatan kawasan perumahan.
Beliau berkata, lebih 80 peratus masalah yang mahu dirujuk ke pusat itu sebenarnya boleh diselesaikan dengan panggilan video membabitkan pesakit dan doktor.
“Tujuan pertama CAC sebenarnya untuk buat penilaian terhadap pesakit sama ada mereka boleh kuarantin di rumah, perlu ke hospital atau ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“Namun, penilaian ini tidak perlu bersemuka dan pesakit boleh dikenal pasti secara panggilan video sahaja.
“Sebagai contoh, kalau ada orang muda yang tidak mempunyai simptom mereka boleh tinggal di rumah dan diberikan nasihat bagaimana kaedah kuarantin yang betul.
Bersemuka hanya untuk yang ada simptom serius sahaja. Mungkin kira-kira 10 peratus sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, media melaporkan keadaan CAC Stadium Malawati sesak selepas diserbu lebih 4,000 individu positif sehingga terpaksa beratur panjang dan ada yang perlu menunggu 10 jam untuk berjumpa doktor.
Apa yang membimbangkan, ada CAC yang terletak berhampiran kawasan perumahan sehingga berkemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19.
Dalam pada itu, Boon Chye berkata, arahan untuk pesakit Covid-19 yang perlu dikuarantin sepatutnya hanya dibuat menerusi keadah panggilan telefon, aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Pemakaian atau pemotongan gelang pink juga boleh dilakukan di rumah dengan pemantauan menerusi panggilan video juga. Bagaimana pula jika pesakit tidak mematuhi arahan kuarantin kendiri? Segalanya boleh dikenal pasti melalui MySejahtera dan pesakit perlu mengemas kini di sistem berkenaan setiap masa.
Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Subramaniam Muniandy berkata, kerajaan perlu melihat kaedah yang lebih mesra rakyat terutama membabitkan golongan tua.
“Mengapa tidak buka sahaja satu pusat CAC khas bagi golongan yang kurang berupaya dan orang tua untuk membuat penilaian?
“Tambahan pula pada waktu sekarang mungkin ada baiknya gunakan sahaja kemudahan yang mempunyai kawasan luas seperti sekolah untuk dijadikan CAC. Ini sekali gus dapat mengelakkan daripada risiko jangkitan,” jelasnya. – UTUSAN










