‘Ubat kuat’ ahli Parlimen lawan pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

‘Ubat kuat’ ahli Parlimen lawan pandemik Covid-19

Semoga matlamat mencapai imuniti kelompok di seluruh negara dapat dilaksana menjelang November ini apabila lebih 60 peratus populasi dijangka sudah menerima vaksin mencegah Covid-19. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas menjadi isu hangat dan bahan perdebatan sejak berbulan-bulan lalu, akhirnya kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan pada hujung bulan ini. Persidangan lima hari yang dipanggil Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu akan diadakan mulai 26 hingga 29 Julai serta 2 Ogos. Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari, iaitu dari 3 hingga 5 Ogos ini.

Menurut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri, persidangan itu khusus untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), iaitu satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 yang sedang hebat melanda negara sekarang. Sidang Parlimen kali ini juga bertujuan meminda semua perundangan serta peraturan bagi membolehkan persidangan diadakan secara hibrid.

Agak sukar untuk diduga sama ada perdebatan akan berjalan secara konstruktif dan berhemah, dengan semua pihak diharapkan merintis pelbagai formula menang-menang, atau akan berlaku senario tidak diduga dan tegang sehingga wujud undi tidak percaya terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, seeloknya tiada mana-mana pihak cuba membuat spekulasi tentang apa yang bakal berlaku di Parlimen kelak. Hakikatnya, perang melawan Covid-19 tidak akan mampu dimenangi melalui perbahasan di Parlimen sahaja, tetapi perlu disusuli oleh tindakan pelbagai pihak terutamanya daripada jemaah Kabinet.

Sesungguhnya perang melawan Covid-19 lebih mudah dilakukan dengan berdepan secara langsung di lapangan, iaitu dalam masyarakat itu sendiri. Dalam kata lain, strategi paling ampuh untuk mengatasi pandemik ini ialah dengan melakukannya di setiap kawasan Parlimen itu sendiri, iaitu melalui prinsip ‘kawasan Parlimen kita, tanggungjawab ahli Parlimen kita’ dan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Fakta terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan, walaupun jangkitan daripada kluster tempat kerja dan tapak pembinaan masih mendominasi statistik jangkitan, tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah kes jangkitan secara sporadik dalam komuniti turut meningkat dengan ketara. Ini bermakna jangkitan Covid-19 dalam masyarakat, kejiranan, kawasan perumahan, perkampungan dan tanah-tanah rancangan Felda turut semakin meningkat. Kemunculan varian baharu yang lebih ganas dan amat pantas merebak, terutamanya varian Delta, Alpha, Beta dan terbaharu, varian Lambda menjadikan wabak ini kini lebih sukar untuk dibendung dan diurus.

Kerana itu, usaha dan langkah segera di peringkat akar umbi terutamanya peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri membabitkan semua pihak terutama ahli Parlimen perlu digerakkan dengan segera secara sistematik dan berkesan. Slogan Kita Jaga Parlimen Kita perlu segera disemarak dan dikumandangkan.

BILIK PERANG

Setiap ahli Parlimen perlu sentiasa memantau kes-kes Covid-19 di kawasan masing-masing secara bersungguh-sungguh dan mengambil langkah segera serta tuntas terhadap setiap kes jangkitan yang dilaporkan. Kerana itu, setiap ahli Parlimen wajar mewujudkan bilik perang atau war room masing-masing melibatkan semua parti politik untuk merancang, melaksana dan memantau pelbagai strategi memerangi virus ini, seterusnya mengurus serta mengatasi impak Covid-19 di kawasan masing-masing.

Sudah tentunya peruntukan RM300,000 melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih)yang disalurkan kepada setiap ahli Parlimen di 222 kawasan di seluruh negara dan mulai diagihkan Khamis lalu mampu menjadi suatu penawar sakti, ‘ubat kuat’ atau penaik semangat kepada usaha memerangi wabak ini.

Walaupun matlamat peruntukan itu adalah untuk memperkasakan program bantuan bakul makanan kepada ramai rakyat yang sudah terkesan teruk dari segi ekonomi dan kewangan mereka tetapi kehadiran peruntukan yang boleh diumpamakan sebagai durian runtuh itu pastinya mampu memberi keceriaan dan menaikkan semangat semua pihak. Hulurkanlah bantuan kepada setiap rakyat yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama atau parti si peminta bantuan.

Di masa krisis dan kritikal ini, setiap bantuan yang diberikan tentu amat besar maknanya. Semoga setiap ahli Parlimen kita dapat menjalankan tugas dan amanah mereka dengan sempurna, telus dan jujur kepada setiap rakyat setempat yang juga pengundi mereka sendiri.

Ini ditambah dengan begitu lancar dan cemerlangnya program vaksinasi nasional kita di mana sehingga 6 Julai lalu, hampir 10 juta dos vaksin diberikan kepada penduduk.

Daripada jumlah itu, lebih 6.6 juta penduduk (20.1 peratus) telah diberikan dos pertama vaksin manakala 2.8 juta (8.9 peratus) lagi menerima kedua-dua dos vaksin.

Semoga matlamat mencapai imuniti kelompok di seluruh negara dapat dilaksana menjelang November ini apabila lebih 60 peratus populasi dijangka sudah menerima vaksin mencegah Covid-19.

Ini juga bermakna matlamat PPN yang mempunyai empat fasa itu bukanlah sesuatu yang sukar atau mustahil untuk dicapai. Malah, kini enam negeri yang mencatatkan purata kes harian Covid-19 rendah selain mencapai kadar vaksinasi melebihi 10 peratus populasinya juga sudah melangkah ke fasa dua PPN, di mana lebih banyak sektor ekonominya dibolehkan beroperasi.

Syabas kepada seluruh penduduk Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang kerana berjaya melepasi halangan pertama yang ditetapkan dalam pelan pemulihan itu. Semoga ia mampu menjadi penguat semangat dan teladan positif kepada warga di negeri-negeri lain dalam usaha bersama mereka memerangi pandemik ini.

DATUK Dr. Mohd. Radzi Abd. Latif ialah Presiden Dewan Profesional Bumiputera Malaysia dan Pengerusi Majlis Bertindak Ekonomi Muslim Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×