PERKEMBANGAN terbaharu politik tanah air menyaksikan pelbagai kejutan demi kejutan tak terjangka mengakibat pelbagai situasi dan persepsi, baik di peringkat pimpinan mahupun rakyat.
UMNO sebagai parti politik terbesar orang Melayu tidak terkecuali daripada menjadi bualan rakyat. Rentetan pasca mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada 7 Julai lalu mencerminkan gelora yang terpampang di mata awam.
Tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu bagi meneruskan kesinambungan tugas-tugas getir berhadapan pandemik Covid-19.
Pelantikan beliau telah pun mendapat restu Presiden UMNO dan khabarnya juga mendapat sokongan moral daripada pemimpin berpengaruh parti, Datuk Seri NajibTun Razak.
Tidak boleh dipertikaikan kesesuaian pelantikan beliau. Pertamanya, Ismail Sabri adalah sosok tubuh yang layak bersandarkan jawatan kanan dalam UMNO. Kedua, beliau antara watak penting yang sekejap popular, sekejap dihentam negeri diselubungi masalah Covid-19.
Sikap beliau yang tenang dan tidak melatah, tidak kira sama ada dipuji atau dihentam, merupakan salah satu kekuatan yang menjadi senjata paling ampuh bagi keperibadiannya.
Pengalaman politik beliau usahlah lagi dibincangkan. Bermula dari zaman Pemuda UMNO hinggalah jawatan terakhir dalam kerajaan, Ismail Sabri mengalami pelbagai situasi getir dan terlibat dalam tugasan-tugasan penting yang menguji ketokohan dan kepimpinannya.
Menarik perhatian saya juga adalah seorang pemimpin berpengaruh UMNO yang tidak cukup hebat ujian yang diterimanya. Dari sosok Perdana Menteri (PM)sehinggalah dihukum dalam perbicaraan media serta ditohmah dan dijatuhkan hukum di mahkamah dengan pelbagai pertuduhan dan sebagainya, namun semua itu dihadapi penuh sabar dan tenang oleh Najib.
Beliau tidak pernah diperlihatkan sebagai tokoh yang mahu kembali menjawat jawatan PM, apatah lagi terlalu rakus untuk menjadi Presiden UMNO. Tetapi beliau sering menjadi bahan rujukan beberapa pemimpin UMNO sebagai seorang rakan dan taulan. Strategi kombat media beliau juga amat dekat di hati rakyat. Memperjuangkan banyak isu panas yang majoritinya adalah isu-isu rakyat.
Beliau menjadi contoh nyata yang benar. Tidak pernah lari dari realiti, waima ketika jatuh terduduk dan tidak lari dari medan perang ketika UMNO kehilangan kuasa dan suara. Beliau kekal berada bersama-sama barisan pejuang dalam UMNO dari hari pertama sehinggalah hari ini.
Personaliti beginilah yang pada hemat saya, lebih bernilai dan berharga daripada sesetengah pemimpin yang lari ketika perang dan sibuk mengatur askar ketika peperangan sudah hampir kepada kemenangan.
Ya, seperti mana seorang bekas pemimpin kanan yang selepas tumbang Barisan Nasional pada 9 Mei 2018, pemilihan parti pun tidak menawarkan diri, lari daripada tanggungjawab UMNO, kemudian bertindak seolah-olah mewakili parti.
Pendek kata, banyak bikin tindakan-tindakan yang merugikan parti sejak pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga kini.
KESIHATAN PM
Pada masa sama, keadaan kesihatan PM juga bukan lagi menjadi rahsia rakyat kebanyakan. Saya secara peribadi bersimpati kepada beliau kerana terpaksa menanggung masalah kesihatan dan pada masa sama menjalankan tugas Ketua Eksekutif Negara sebagai rutin harian.
Bukanlah tugas yang mudah. Selain isu kesihatan, kita dapat lihat bagaimana populariti beliau agak menurun dan persepsinya 50-50 di mata rakyat dalam menangani isu Covid-19. Dan bagaimana beliau mengawal pelbagai wajah dalam sebuah Kabinet besar yang tujuannya ‘mengekalkan majoriti.’
Adakah sudah tiba saat dan ketikanya beliau akur dan membuat ‘pendaratan halus’ secara terhormat daripada tugas yang menyukarkan beliau?
Di kala negara berhadapan masalah Covid-19 dan masih tidak ada formula standard terpakai daripada mana-mana negara untuk menanganinya, adalah lebih molek jika PM memberikan laluan kepada orang lain daripada memperjudikan nyawa dan kesihatan beliau, sekali gus mencari formula yang tuntas untuk penyelesaian buat negara.
Awal tahun ini, kelantangan rakyat berkenaan proses vaksinasi yang perlahan dengan kadar suntikan vaksin yang rendah mengakibatkan suhu gelora rakyat terhadap kepimpinan negara amat tinggi.
KERENAH BIROKRASI
Tidak terkecuali ungkapan kurang enak dilemparkan terhadap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin. Namun, hari ini dengan pelbagai usaha dan ikhtiar dari dalam dan luar negara, beliau berjaya keluar dari segala permasalahan yang dibangkitkan. Kadar suntikan sebanyak 350,000 sehari menenggelamkan kritikan yang dilemparkan.
Sehingga hari ini, kadar vaksinasi keseluruhannya telah mencecah 10 juta suntikan dan kita dalam perjalanan deras ke arah imuniti kelompok pada kadar 80 peratus daripada populasi rakyat.
Antara langkah proaktif yang telah diambil kebanyakan negara maju dalam hidup di norma baharu bersama Covid-19 adalah mengadakan ujian saringan setiap masa dan sekerap mungkin.
Hanya langkah ini akan menjadikan kita serasi dengan kehidupan norma baharu bersama virus itu yang kita mengerti tidak akan berakhir dalam tiga hingga lima tahun ke hadapan.
Bagaimanapun, keadaannya berbeza di Malaysia. Kit ujian saringan kendiri bagi Covid-19 yang telah berkali-kali diumum Ketua Pengarah Kesihatan masih lagi tidak muncul-muncul di pasaran. Sedangkan ratusan nyawa telah terkorban, ribuan kejangkitan harian terpampang di dada akhbar.
Gelora politik waktu ini, apalagi menjelang pembukaan sidang Parlimen 26 Julai ini penuh debaran. Usul undi tidak percaya dibolehkah atau tidak?
Ayuh UMNO, rapatkan saf perjuangan dan kita perkuatkan parti untuk kelangsungan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. Selami ungkapan keramat cendekiawan yang juga bekas pemimpin Pas, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi terutama dalam mendepani detik kekalutan politik yang penuh getir ini.
Sewajarnya menjadi panduan anak bangsa hari ini – biar apa pun ‘halilintar’ yang mendatang. Ambillah pengajaran berharga dari kejatuhan empayar Melayu-Islam Melaka kira-kira 500 tahun lalu di tangan Portugis (1511).
“Di atas robohan kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka…”
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










