Risiko dipenjara hingga lima tahun jika lapor serangan Ukrain

Risiko dipenjara hingga lima tahun jika lapor serangan Ukraine

SEBUAH loji penapsian minyak milik Gazprom terbakar akibat serangan dron Ukraine di Moscow. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia sedang bersiap sedia mengetatkan penapisan maklumat ketika perang menerusi penggubalan undang-undang baharu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berkongsi maklumat mengenai serangan dron dan peluru berpandu Ukraine, lapor akhbar Financial Times.   

Menurut laporan itu, sekumpulan senator Russia membentangkan tiga draf undang-undang pada Khamis yang menyasarkan penerbitan maklumat berhubung serangan ke atas kilang penapisan minyak, pusat data serta kemudahan sensitif lain.   

Cadangan tersebut bukan sahaja menyekat wartawan dan penentang perang, malah diperluaskan kepada penulis blog pro-perang serta orang awam yang berkongsi perincian mengenai serangan Ukraine.   

Memuatkan artikel berkaitan…

“Musuh semakin kerap menggunakan maklumat daripada sumber terbuka untuk menggugat keselamatan negara,” kata salah seorang senator utama di sebalik cadangan itu, Andrey Klishas kepada akhbar Russia, Kommersant.   

Undang-undang yang dicadangkan itu akan memperkenalkan hukuman denda dan penjara sehingga lima tahun bagi perbuatan menyebarkan maklumat mengenai kesan serangan dron dan peluru berpandu Ukraine, serangan pengganas, sabotaj serta cubaan membunuh pegawai kerajaan dan tentera Russia.   

Langkah berkenaan turut menyekat pelaporan mengenai lokasi kelengkapan ketenteraan serta fasiliti pembuatan atau penyimpanan senjata.   

Financial Times melaporkan draf undang-undang itu dijangka diluluskan meskipun skop pelaksanaannya masih belum ditakrifkan secara jelas, sekali gus mencetuskan kebimbangan pakar perundangan terhadap kemungkinan berlaku tafsiran yang terlalu luas.   

Sekatan serupa pernah dipertimbangkan pada tahun 2023 namun digugurkan selepas gagal mendapat sokongan Kremlin, justeru pembentangan semula ini memberi petunjuk Presiden Russia, Vladimir Putin kini mungkin menyokong langkah yang sebelum ini dianggap terlalu ketat.   

“Sekarang adalah waktu perang dan kita mesti membuat keputusan yang perlu dibuat ketika perang,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada pemberita pada Jumaat.

Semalam, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut menandatangani dekri yang melarang media melaporkan butiran mengenai kesan serangan Russia terhadap infrastruktur kritikal.

Menurut dekri itu, kerajaan Ukraine perlu mengambil langkah segera bagi melarang laporan media tertentu, khususnya berkaitan kesan kemusnahan dan tempoh pemulihan kemudahan infrastruktur kritikal.

Selain itu, Zelensky mengarahkan Kementerian Pertahanan dan Staf Am mengambil langkah bagi meningkatkan perlindungan terhadap infrastruktur tenaga kritikal.

Dekri itu menyatakan langkah berkenaan dicadangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan bulan lalu.

Sebelum ini, Ukraine menggesa media supaya tidak menyiarkan maklumat mengenai lokasi atau kerosakan akibat serangan Russia, dengan alasan tindakan itu membantu tentera Moscow menentukan sasaran serangan seterusnya.

Dekri itu tidak memperincikan bagaimana langkah berkenaan akan dikuatkuasakan. Pada Sabtu, penasihat kepada Zelensky, Dmytro Lytvyn mengakui usaha itu menjadi rumit kerana sebahagian besar hantaran sedemikian datang daripada saluran Telegram tanpa nama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini